KUALA LUMPUR 26 Nov - Prestasi suku ketiga WCT Holdings Berhad menunjukkan pemulihan berbanding tahun sebelumnya namun masih berdepan tekanan ketara pada margin pembinaan, menurut penganalisis.
Situasi itu menyebabkan ada firma penyelidikan menyemak turun unjuran keuntungan, manakala ada yang melihat keputusan pada 3Q25 sebagai sejajar dengan jangkaan, berdasarkan prospek pemulihan kukuh.
MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' namun menyemak turun unjuran keuntungan FY25, FY26, dan FY27 masing-masing sebanyak -19.1%, -15.7% dan -15.8% disebabkan prestasi lemah daripada jangkaan.
"Kami menyemak harga sasaran (TP) sesaham kepada 79 sen, berasaskan anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY26 lebih rendah pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 20 kali," katanya dalam nota.
WCT mencatatkan keuntungan bersih teras RM10.7 juta pada 3QFY25, tetapi secara kumulatif 9MFY25 hanya mencapai RM39 juta, bersamaan 59.5% daripada unjuran firma berkenaan dan 67.3% konsensus.
Walaupun hasil meningkat 10.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM482.6 juta, namun margin dalam segmen kejuruteraan & pembinaan (EC) kata MBSB Research, jatuh ketara kepada 1.0%, menekan keuntungan.
Justeru jelas firma penyelidikan tersebut, segmen EC terus menjadi penyumbang terbesar (77.8% hasil), meskipun keuntungan operasi jatuh 67.8% YoY akibat projek margin tinggi menghampiri siap.
"Sebaliknya, pembangunan hartanah menunjukkan prestasi kukuh dengan keuntungan operasi RM100.5 juta meningkat 100% YoY, disokong jualan tinggi, pengebilan lebih baik dan pelupusan tanah," katanya.
Buku tempahan pula tambah MBSB Research, berada pada RM2.32 bilion dengan unjuran peningkatan pengebilan projek tambahan lorong lebuh raya PLUS Utara-Selatan serta Pavilion Damansara Heights.
Sehubungan itu jelas firma penyelidikan berkenaan, buku tender WCT dinilai berjaya melebihi RM11 bilion, dengan syarikat tersebut kini lebih agresif dalam membida projek tempatan dan luar negara.
Artikel berkaitan: WCT Holdings catat hasil RM482.6 juta pada 3QFY25
Sementara itu, CGS International mengekalkan saranan 'tambah' dan TP RM1.28 dengan menyatakan keputusan 3Q25 adalah selari unjuran dan syarikat semakin kukuh selepas penyenaraian Paradigm REIT.
"WCT mengatasi kerugian sebanyak RM6 juta pada 3Q24, dan kami menjangka 4Q25 menunjukkan prestasi baik tanpa bayaran terhadap sukuk berterusan, selain peningkatan pengebilan hartanah," katanya.
Jualan hartanah pada 3Q25 sekitar RM140 juta, menjadikan 9M25 kepada RM502 juta, yang kelihatan rendah berbanding sasaran FY25 sebanyak RM1.1 bilion, namun senarai kerja direkodkan kekal kukuh.
Perkembangan itu berikutan pelancaran projek Aras Residence dan prestasi 91% penjualan Maple Residences, dengan syarikat ini dilihat lebih agresif dalam pembidaan projek infrastruktur utama.
Antaranya kata CGSI, sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kerja sistem transit rel ringan (LRT) Pulau Pinang, transit aliran autonomi (ART) Johor, pusat data dan pelbagai projek tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Kami menilai peluang pengembangan luar negara mampu menawarkan margin lebih menarik dan melihat potensi jika WCT mencatat kemenangan tender berskala besar dan penyampaian hasil kukuh," katanya.
Secara keseluruhan, firma berkenaan lebih optimis melihat pemulihan secara berperingkat, sokongan pengebilan hartanah, dan potensi kemenangan tender mega sebagai pemangkin utama. - DagangNews.com








