Wasco Greenergy siapkan sistem stim biojisim terbesar Malaysia di kilang kertas Kajang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasco Greenergy siapkan sistem stim biojisim terbesar Malaysia di kilang kertas Kajang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Mei – Wasco Greenergy Berhad telah menyiapkan salah satu sistem tenaga stim biojisim terbesar di Malaysia di sebuah kilang kertas di Kajang, Selangor sebagai usahanya memperkukuh usaha penyahkarbonan sektor perindustrian negara.

 

Sistem berkenaan dibangunkan di atas fasiliti seluas kira-kira 3,000 meter persegi dan direka serta dihasilkan oleh anak syarikatnya, Wasco Thermal Sdn Bhd yang merupakan cabang kejuruteraan tenaga dalam kumpulan tersebut.

 

“Projek ini merupakan sebahagian daripada rumusan kejuruteraan bersepadu yang merangkumi perkhidmatan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) yang melibatkan keseluruhan proses daripada reka bentuk, pembinaan sehingga pentauliahan sistem.

 

“Selain itu, Wasco Greenergy turut menawarkan model perniagaan Build-Own-Operate (BOO), yang membolehkan syarikat memiliki serta mengendalikan sistem tenaga tersebut bagi pihak pelanggan industri dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut syarikat itu, sistem tenaga stim biojisim tersebut direka untuk menyediakan penjanaan stim dan tenaga berkecekapan tinggi bagi operasi industri berskala besar, khususnya sektor pembuatan.

 

Ia menggunakan tandan buah kosong kelapa sawit (EFB) yang telah dirawat sebagai bahan api utama, dengan kadar penggunaan melebihi 80 peratus yang mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan grid elektrik nasional.

 

t

 

Sistem ini turut dilengkapi dengan teknologi Combined Heat and Power (CHP) yang menghasilkan tenaga elektrik boleh diperbaharui dan tenaga stim secara serentak dalam satu sistem bersepadu.

 

Pendekatan ini meningkatkan kecekapan tenaga keseluruhan serta membantu pelanggan industri mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kestabilan bekalan tenaga dalam proses pengeluaran.

 

Sistem tersebut dijangka mampu menjana sehingga 500,000 megawatt-jam (MWh) tenaga haba boleh diperbaharui setiap tahun, selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO₂) secara signifikan.

 

Wasco Greenergy berkata projek ini bukan sahaja memberi impak di peringkat tempatan, malah menyokong operasi industri di pelbagai pasaran lain termasuk Malaysia, Indonesia, rantau ASEAN serta pasaran antarabangsa seperti Afrika dan Amerika Latin melalui rangkaian operasinya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wasco Greenergy, Lee Yee Chong berkata, projek ini membuktikan teknologi biojisim berskala besar bukan sahaja mesra alam, tetapi juga mempunyai nilai komersial yang kukuh dalam menyokong peralihan tenaga global.

 

Beliau berkata, inisiatif ini selaras dengan agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) serta Pelan Tindakan Biojisim Nasional, yang menekankan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

 

Wasco Greenergy berkata, projek tersebut turut menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan sepanjang dua tahun lalu serta mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyedia penyelesaian tenaga hijau terkemuka di rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com