Wasco berpotensi catat pemulihan lebih kukuh disokong segmen kejuruteraan, HLIB kekal “Beli” dengan TP RM1.49 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasco berpotensi catat pemulihan lebih kukuh disokong segmen kejuruteraan, HLIB kekal “Beli” dengan TP RM1.49

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 April – Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan “Beli” ke atas Wasco Bhd dengan harga sasaran RM1.49 dengan pandangan syarikat itu kini berada dalam fasa pemulihan pendapatan serta berpotensi menikmati penilaian semula nilai pasaran. 

 

Firma penyelidikan itu berkata Wasco adalah antara penerima manfaat utama kitaran pemulihan industri minyak dan gas global khususnya dalam segmen laut dalam dan gas asli cecair.

 

HLIB berkata penilaian semasa Wasco masih menarik apabila saham kini didagangkan pada sekitar 7 kali anggaran keuntungan tahun kewangan 2026. Paras ini jauh lebih rendah berbanding purata lima tahun sekitar 16 kali dan purata industri sekitar 12 kali, sekali gus membuka ruang kepada potensi kenaikan semula.

 

“Selain itu, Wasco turut mendapat manfaat daripada pendedahan kepada sektor tenaga baharu seperti penangkapan karbon, hidrogen, ammonia hijau dan tenaga boleh baharu. Faktor ini menyokong prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat.

 

“Dari sudut operasi, gangguan di Qatar dan Dubai yang melibatkan sekitar 10 peratus hasil tahun kewangan 2026 dilihat tidak memberi impak yang besar kerana majoriti pendapatan Wasco masih disokong oleh projek di Malaysia dan Indonesia, yang membantu mengekalkan kestabilan aliran pendapatan,” kata HLIB dalam nota kajiannya.

 

Dalam masa sama, penangguhan aktiviti salutan paip dalam Pelan Aktiviti PETRONAS 2026 hingga 2028 tidak mengubah prospek jangka sederhana syarikat. HLIB menjangkakan pemulihan industri masih berada di landasan, dengan tahun 2026 dijangka menjadi titik pemulihan utama.

 

HLIB turut menekankan kekuatan asas Wasco dengan buku tempahan RM2.8 bilion serta buku tender RM12 bilion yang memberi keterlihatan pendapatan yang baik dengan keseimbangan antara segmen perkhidmatan paip dan kejuruteraan.

 

“Segmen kejuruteraan pula dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan jangka pendek, khususnya melalui jangkaan penganugerahan projek Kikeh sistem pengeluaran terapung pada suku kedua tahun kewangan 2026.

 

“Selain itu, ketegangan di Timur Tengah juga dilihat berpotensi memberi kesan positif tidak langsung kerana situasi ini boleh meningkatkan perbelanjaan tenaga global serta mempercepatkan projek infrastruktur tenaga, yang memberi manfaat kepada pemain seperti Wasco.

 

“Secara keseluruhan, struktur perniagaan Wasco kekal seimbang dengan pendedahan kepada dua segmen utama, sekali gus mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu sumber pendapatan sahaja,” katanya.

 

Saham Wasco sedang membentuk corak “rounding bottom” iaitu satu petunjuk teknikal yang lazimnya menunjukkan fasa pemulihan selepas trend penurunan yang panjang. 

 

HLIB berkata pergerakan harga terkini juga menunjukkan pemulihan apabila saham telah kembali melepasi purata bergerak utama.

 

“Wasco kini didagangkan di atas purata bergerak 20 hari, 50 hari dan 200 hari yang mencerminkan peningkatan momentum jangka pendek hingga sederhana. Paras rintangan penting ketika ini adalah RM1.15, yang menjadi penentu sama ada trend kenaikan baharu dapat disahkan.

 

“Sekiranya harga berjaya menembusi RM1.15 dengan kukuh, kami menjangkakan saham berpotensi meneruskan kenaikan ke sasaran RM1.19, RM1.28 dan seterusnya RM1.35. Namun, kegagalan melepasi paras tersebut boleh menyebabkan harga kembali lebih rendah.

 

“Paras sokongan utama yang dikenal pasti adalah sekitar RM1.07 hingga RM1.02, diikuti RM0.95,” kata HLIB yang turut menetapkan paras ‘cut loss’ pada RM1.04 bagi pelabur jangka pendek sebagai langkah pengurusan risiko. - DagangNews.com