KUALA LUMPUR 16 April – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sunway Berhad berkuat kuasa 15 April 2026.
Abdul Wahid adalah bekas menteri di JPM kedua yang menganggotai Lembaga Pengarah Sunway selepas pelantikan Datuk Seri Idris Jala pada tahun 2017.
Pelantikan tokoh korporat berpengalaman itu dilihat mampu mengukuhkan lagi tadbir urus serta hala tuju strategik kumpulan, sejajar dengan kedudukannya sebagai antara syarikat konglomerat terkemuka negara.
Abdul Wahid, 62, memiliki latar belakang kukuh dalam bidang kewangan dan korporat, termasuk kelayakan profesional sebagai Felo Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) serta keahlian dalam Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Beliau turut menerima beberapa doktor falsafah kehormat dalam bidang ekonomi dan pentadbiran perniagaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan, mencerminkan sumbangan besar beliau dalam pembangunan ekonomi negara.
Sepanjang kerjayanya, Abdul Wahid pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank bermula Mei 2008.
Sebelum itu, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad dari Julai 2004 sehingga proses pemisahan dengan Axiata Group Berhad pada April 2008.
Beliau juga pernah menerajui UEM Group Berhad sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, di mana beliau memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan syarikat tersebut selepas pengambilalihan oleh Khazanah Nasional Berhad pada 2001.
Dalam sektor awam, Abdul Wahid pernah berkhidmat sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perancangan ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.
Beliau turut memegang jawatan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad dari Ogos 2016 hingga Jun 2018, selain menamatkan tempoh lima tahun sebagai Pengerusi Bursa Malaysia Berhad pada 30 April 2025.
Kini, beliau juga merupakan Pengerusi WWF Malaysia dan MySDG Foundation dan turut menyandang pelbagai peranan akademik dan penasihat, termasuk sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia serta felo pelawat di Oxford Centre for Islamic Studies.
Pada 5 November 2025, IOI Corporation Bhd, mengumumkan pelantikan Abdul Wahid sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu syarikat itu dan sebelum itu dilantik sebagai Pengerusi Cypark Resources Bhd. - DagangNews.com








