Vstecs Pericomp, Logicalis capai penyelesaian penuh saman sivil, terima bayaran RM6.93 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vstecs Pericomp, Logicalis capai penyelesaian penuh saman sivil, terima bayaran RM6.93 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 April - Vstecs Berhad memberitahu anak syarikat milik penuh Vstecs Pericomp Sdn. Bhd. telah mencapai penyelesaian secara baik dengan Logicalis Malaysia Sdn. Bhd. dan Logicalis Singapore Pte. Ltd. berhubung saman sivil yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Vstecs berkata penyelesaian tersebut menyaksikan Logicalis Malaysia membayar sejumlah RM6,925,959.34 kepada Vstecs Pericomp sebagai penyelesaian penuh dan muktamad bagi kes berkenaan.

 

Susulan itu, Vstecs Pericomp bersetuju untuk menarik balik dan/atau menghentikan tindakan undang-undang tersebut serta melepaskan kedua-dua defendan daripada sebarang tuntutan lanjut berkaitan perkara yang dipertikaikan.

 

Terdahulu, syarikat itu telah memfailkan writ saman dan penyata tuntutan terhadap kedua-dua entiti Logicalis berkenaan pada Disember 2025.

 

Menurut Vstecs, jumlah penyelesaian yang diterima tidak dijangka memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan dan operasi kumpulan. 

 

Vstecs merupakan pengedar utama produk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Malaysia, yang mengedarkan rangkaian komprehensif produk ICT kepada pasaran runcit dan perusahaan.

 

Ini merangkumi komputer riba, komputer peribadi, telefon pintar, tablet, pencetak, perisian, infrastruktur rangkaian dan komunikasi, pelayan serta perisian perusahaan. - DagangNews.com