KUALA LUMPUR 22 Sept – VS Industry Berhad menerusi anak syarikatnya VS Capital Management Sdn Bhd (VSCM) berjaya melunaskan penebusan pertama sukuk wakalah yang bernilai RM200 juta.
Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) tempatan itu berkata, ia menandakan disiplin kewangan dan pengurusan aliran tunai yang mantap, meskipun persekitaran operasi global kekal mencabar.
Menurut Pengarah Urusan VS, Datuk SY Gan, kejayaan penebusan sukuk ini bukan sahaja mencerminkan kedudukan kewangan yang kukuh, malah menyumbang pengurangan kos pembiayaan akan datang syarikat.
“Kedudukan kewangan kami kekal sihat dengan pegangan tunai kasar tinggi sebanyak RM814.9 juta setakat akhir April 2025 serta nisbah hutang bersih sangat rendah,” katanya dalam kenyataan.
Kejayaan tersebut juga menunjukkan keupayaan VS memenuhi komitmen pembiayaannya dengan berhemah dan mengakui landskap perniagaan semasa berdepan pelbagai ketidaktentuan termasuk isu tekanan kos.
Cabaran itu tambah Gan, boleh memberi kesan terhadap aliran tempahan masa depan, namun operasi kumpulan kekal stabil dan tidak terganggu, dengan hubungan pelanggan terus terpelihara baik.
“Asas pelanggan kami adalah kekal kukuh, manakala operasi VS di Filipina juga sedang menunjukkan kemajuan positif dengan peningkatan kapasiti pengeluaran secara berperingkat,” kata beliau lagi.
VSCM menerbitkan sukuk wakalah bernilai RM500 juta pada September 2022 dengan peringkat pertama yang berjaya ditebus itu digunakan untuk modal kerja, perbelanjaan modal dan tujuan korporat am.
Usaha berkenaan jelas Gan, turut dapat memanfaatkan pembiayaan semula pelbagai pinjaman yang sedia ada dilaksanakan oleh pengurusan syarikat tersebut mengikut kepada asas prinsip patuh Syariah.
Langkah ini sekali gus mengukuhkan lagi reputasi VS Industry sebagai pemain EMS yang komited terhadap amalan kewangan secara mampan dan tadbir urus korporat yang baik. - DagangNews.com








