VS Industry dinilai berhati-hati, permintaan lemah pengguna berisiko jejas 2QFY26 - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VS Industry dinilai berhati-hati, permintaan lemah pengguna berisiko jejas 2QFY26 - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 DisVS Industry Berhad mengekalkan nada berhati-hati, dengan pengurusan menegaskan perkhidmatan pengilangan elektronik (EMS) pengguna masih berada dalam fasa kelembapan.


Menurut Hong Leong Investment Bank, ia berikutan lebihan kapasiti global yang berlarutan dan susulan perkembangan itu, ia meneruskan saranan 'pegang' dengan harga sasaran 49 sen sesaham.


Katanya, tumpuan utama ketika ini ialah mengekalkan hubungan dengan pelanggan, bukan mengembangkan margin kerana pemain EMS global didapati terus agresif menawarkan harga bagi mengisi kapasiti.


"Permintaan yang perlahan menyebabkan jenama utama terus mengurangkan tempahan, mewujudkan tekanan kos tambahan kepada EMS seperti VS Industry," kata firma penyelidikan tersebut dalam notanya.


Syarikat itu jelas HLIB, memberi tumpuan kepada penstrukturan dalaman untuk mengurangkan kerugian dalam beberapa bahagian, terutama HT Press susut kepada RM2.4 juta setiap suku daripada RM4 juta.


Sementara bahagian 'moulding' pula tambahnya, turut menunjukkan penurunan kerugian, susulan langkah pengawalan kos menjadi strategi utama memandangkan ruang menaikkan harga adalah terhad.


Selain itu, VS Industry mengunjurkan prestasi jualan yang lebih lembap pada 2QFY26, apabila pelanggan menurunkan paras inventori pada Disember 2025 sebelum menilai semula keperluan.


"Ini disebabkan musim jualan hujung tahun, namun syarikat berkenaan mengekalkan sasaran jualan FY26 sebanyak RM4.2 bilion dengan margin keuntungan bersih antara 2.5% hingga 3.0%," kata HLIB.


Walaupun pasaran menanti pemulihan 2H26 hasil peningkatan volum di Filipina, firma itu memberi amaran yang permintaan pengguna masih lagi lemah ekoran penurunan dolar Amerika Syarikat (AS).


Situasi itu boleh menjejaskan trajektori pemulihan, dengan 85% hasil daripada pelanggan menjana lebih 40% jualan di AS, dan kelembapan di pasaran sukar diimbangi melalui rantau Asia Pasifik.


Justeru HLIB mengekalkan unjuran tanpa perubahan dan kekal berhati-hati dalam prospek VS Industry memandangkan ketidaktentuan permintaan AS, dan persaingan sengit daripada banyak jenama China. 


"Kami juga mendapati yang kumpulan ini sebenarnya masih lagi terdedah kepada risiko penangguhan tempahan oleh pelanggan utama jika dibuat secara tiba-tiba," katanya. - DagangNews.com