VS Industry berisiko kerugian susulan minat pelabur rendah, sentimen pasaran lemah – AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VS Industry berisiko kerugian susulan minat pelabur rendah, sentimen pasaran lemah – AmInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Nov – VS Industry Berhad masih lagi berdepan dengan risiko kerugian susulan minat pelabur adalah rendah dan sentimen pasaran yang lemah, menurut AmInvestment Bank Berhad.


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu yakin asas perniagaan syarikat tersebut semakin baik dengan kerugian yang terus mengecil dan pelancaran model baharu sudah mula menyumbang kepada pendapatan.


Ia menjangkakan syarikat ditubuhkan pada 1982 dan beribu pejabat di Senai, Johor itu akan kembali mencatat keuntungan pada suku akan datang, berbanding kerugian teras RM30 juta pada 4QFY25.


"Perkembangan positif ini diramal tidak mustahil dicapai apabila tekanan margin daripada operasi kumpulan di Filipina dan HT Press mula kembali berkurangan," kata AmInvest dalam notanya hari ini.


Selain itu jelas firma berkenaan, pelbagai inisiatif penjimatan kos dan sumbangan daripada banyak model baharu dijangka menyokong peningkatan pendapatan VS Industry dalam tempoh suku berikutnya.


Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 85 sen sesaham, bersamaan potensi kenaikan sebanyak 81%, yang berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 12.5 kali untuk unjuran FY27.


AmInvest menekankan yang isu kelemahan harga saham kumpulan tersebut baru-baru ini lebih kepada pengurangan pegangan oleh institusi, dan kini turun 2.3 mata peratus ke 41.6% pada Oktober 2025.


"Keadaan ini menunjukkan risiko telah mula berkurangan dan infleksi bakal berlaku apabila hasil menunjukkan pemulihan, selari dengan minat pelabur yang paling rendah," jelas firma berkenaan.


Situasi tersebut jelasnya, menjadikan peluang potensi penilaian semula saham VS Industry sebagai pilihan utama sektor teknologi sejak mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1988.


Syarikat ini menyediakan perkhidmatan pengeluaran elektronik (EMS) bersepadu yang memberi tumpuan khusus kepada reka‑bentuk, cetakan plastik suntikan dan pemasangan papan litar bercetak (PCBA).


Kumpulan tersebut juga terlibat dalam proses pemasangan automasi serta pembungkusan akhir bagi produk elektrik dan elektronik untuk kegunaan pejabat dan rumah. - DagangNews.com