ViTrox sasar potensi teknologi AI, EV dan 5G selepas catat 88% kenaikan hasil bagi 1QFY26 – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ViTrox sasar potensi teknologi AI, EV dan 5G selepas catat 88% kenaikan hasil bagi 1QFY26 – CIMB Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 April – Gelombang permintaan global yang dipacu kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan rangkaian 5G kini menjadi pemangkin utama prestasi ViTrox Corporation Berhad.


Situasi berkenaan menurut CIMB Securities, sekali gus menarik perhatian pelabur terhadap prospek pertumbuhan positif secara berterusan oleh syarikat tersebut dalam tempoh jangka sederhana.


Tambah firma penyelidikan itu, kumpulan berkenaan dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada 2026 disokong peningkatan permintaan berkaitan infrastruktur AI, pengembangan 5G dan aplikasi EV.


"Prestasi kukuh ViTrox turut didorong kitaran pembaharuan produk baharu susulan pelancaran siri generasi baharu QX1, yang menawarkan teknologi pemeriksaan sinar-X dengan resolusi ultra tinggi," katanya.


CIMB Securities dalam nota analisisnya menyifatkan produk tersebut yang dapat digunakan bagi pembungkusan lanjutan dan pemasangan elektronik, dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan.


Berdasarkan potensi luas peralatan itu, firma berkenaan menilai unjuran peningkatan pendapatan sesaham (EPS) syarikat tersebut mampu mencecah sebanyak 43% bagi tahun kewangan 2026 (FY26).

 

Artikel berkaitan: ViTrox catat untung RM51.2 juta pada 1QFY26, kedua tertinggi dalam sejarah suku tahunan syarikat
 

ViTrox_DagangNews


Selain itu, ia turut merujuk prestasi kedudukan kewangan bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2026, apabila ViTrox merekodkan lonjakan pendapatan sebanyak 88% tahun ke tahun (YoY).


"Kami mendapati perkembangan ini disokong kukuh oleh peningkatan penghantaran bagi sistem mesin dulang serta produk pemeriksaan papan automatik yang ada permintaan baik," kata CIMB Securities.


Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan masih lagi mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran (TP) yang diunjur turut tidak berubah pada RM5.90 sesaham.


Ujarnya, ViTRrox turut mempunyai beberapa pemangkin utama lain yang ada potensi perolehan termasuk insentif cukai perintis baharu dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).


Di samping itu ujar CIMB Securities, syarikat berkenaan meraih faedah menerusi dasar Strategi Semikonduktor Nasional, pengembangan margin serta peningkatan pendedahan kepada segmen AI.


"Secara keseluruhan, kami melihat kedudukan kumpulan ini kekal kukuh memanfaatkan trend teknologi global, khususnya dalam rantaian nilai semikonduktor berteknologi tinggi," katanya. - DagangNews.com