KUALA LUMPUR 24 Jun — Supratechnic (M) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat tidak langsung USP Group Limited dari Singapura, hari ini dilantik sebagai pengedar rasmi Honda Marine di Johor, Melaka dan Pahang.
Syarikat pengedar utama enjin marin, perkakasan dan perkhidmatan berkaitan maritim itu berkata, ia susulan perjanjian kerjasama strategik dengan pengedar Honda Marine di Malaysia, Victormax Sdn Bhd.
Menerusi perjanjian tersebut, Supratechnic dapat hak penjualan enjin sangkut berprestasi tinggi Honda Marine, alat ganti tulen, aksesori marin dan minyak enjin VMTec di ketiga-tiga negeri berkenaan.
"Produk itu akan dapat dibeli menerusi beberapa cawangan syarikat ini yang terletak di lokasi-lokasi strategik antaranya di Muar, Johor dan Kuantan, Pahang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai peristiwa penting itu, Ketua Pegawai Operasi Supratechnic, Lim Boon Sue berkata,
Honda Marine dihormati di peringkat global kerana ketahanan, prestasi dan kejuruteraan yang unggul.
Syarikat itu berbesar hati untuk menambah Honda Marine ke dalam portfolio premium rumusan marinnya dan turut menekankan komitmen bagi menyediakan para pelanggan kepada produk yang bertaraf dunia.
"Kami akan sokong perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang dan jaminan komprehensif serta berharap dapat meningkatkan lagi kepimpinan dalam industri marin Malaysia melalui kerjasama ini," katanya.
Perkongsian dengan Honda Marine tambahnya, mengukuhkan keupayaan Supratechnic menawarkan pemasangan profesional, sokongan selepas jualan berdedikasi dan program jaminan secara mantap.
Usaha itu katanya, memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan Honda Marine yang luar biasa manakala rakan-rakan kongsinya akan bersama-sama melaksanakan siri kempen pemasaran disasarkan.
Ini termasuk aktiviti promosi, serta inisiatif penglibatan peniaga, dengan matlamat untuk memacu peningkatan keterlihatan jenama dan mengukuhkan penembusan pasaran di seluruh negeri-negeri itu.
Supratechnic ditubuhkan pada 1968 merupakan milik penuh Supratechnic Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, dan secara tidak langsung dipegang USP Group, sebuah syarikat diperbadankan pada 2004.
Pengurus Besar Victormax, Chan Chung Fai berkata, pelantikan Supratechnic sebagai pengedar Honda Marine menandakan permulaan pakatan strategik dua organisasi terkenal dalam industri enjin marin.
"Perkongsian itu menyelaraskan perniagaan kami dengan trend masa depan, matlamat kemampanan serta objektif jangka panjang meraih bahagian pasaran dan mengukuhkan reputasi jenama," katanya. - DagangNews.com








