KUALA LUMPUR 5 Jan — Vetece Holdings Berhad menerima kontrak terbaharu yang bernilai kira-kira RM12.6 juta daripada sebuah syarikat utiliti tempatan bagi penyediaan langganan perisian awan.
Kumpulan itu berkata, ia diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Vision Technology Consulting Sdn Bhd, melibatkan kerja-kerja pengurusan modal insan (HCM) yang berasaskan standard antarabangsa.
Perjanjian tender tersebut jelasnya, berjaya dimeterai pada 31 Disember 2025 dan akan dilaksanakan bagi tempoh empat tahun, yang meliputi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2029.
"Kontrak ini selari strategi kumpulan mengukuh keupayaan rumusan aplikasi pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) dan perancangan sumber perusahaan (ERP)," maklum Vetece kepada Bursa Malaysia.
Penyedia rumusan teknologi maklumat (IT) yang ditubuhkan pada 2003 dan berpangkalan di ibu negara itu menambah, kerja-kerja HCM tersebut sekali gus memperluaskan penawaran teknologi perniagaannya.
Dari segi kewangan, tender berkenaan tidak memberi kesan ke atas modal saham atau pegangan pemegang saham utama kumpulan, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih.
Lembaga Pengarah Vetece menyatakan kumpulan tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa berkaitan pembekalan produk, dan akan terus melaksanakan langkah mitigasi.
"Tiada pengarah atau pemegang saham utama, atau individu berkaitan dengan mereka, memiliki sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut," jelas kenyataan tersebut.
Selain itu, kontrak ini tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia kerana ia dibuat hanya dalam urusan perniagaan biasa kumpulan. - DagangNews.com








