Versatile cadang ambil alih pajakan pusat beli-belah di Petaling Jaya bernilai RM25.85 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Versatile cadang ambil alih pajakan pusat beli-belah di Petaling Jaya bernilai RM25.85 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 OktVersatile Creative Berhad (VCB) berhasrat mengambil alih sebuah hartanah pegangan pajakan di Petaling Jaya, Selangor pada harga tunai keseluruhan sebanyak RM25.85 juta.


Kumpulan itu berkata, usaha tersebut dilaksanakan melalui anak syarikat tidak langsung miliknya 51%, NSK Grocer (KL) Sdn Bhd (NSKG) menerusi Perjanjian Jual Beli (SPA) yang dimeterai pada 29 Mei 2025.


Hartanah berkenaan katanya, merupakan sebagai pusat beli-belah dua tingkat serta tempat letak kereta bawah tanah dalam podium empat tingkat terletak di Pelangi Damansara, PJU 6, Persiaran Surian.


"Premis tersebut kini dimiliki oleh Empire Benefit Sdn Bhd dan pembelian akan dibiayai sepenuhnya secara tunai melalui gabungan dana dalaman atau pinjaman bank," maklum VCB kepada Bursa Malaysia.


Syarikat itu menyatakan yang cadangan pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada rancangan pertumbuhan strategik NSKG untuk memperluaskan operasi runcitnya di kawasan berpenduduk padat.


Lokasi itu juga katanya, mudah diakses, berdepan jalan utama, serta kedudukan dalam kawasan matang dengan asas pelanggan kukuh menjadikan hartanah ini sesuai untuk pengembangan operasi peruncitan.


“Lembaga Pengarah VCB turut berpandangan yang harga pembelian ditawarkan itu adalah adil, munasabah dan selaras dengan kepentingan terbaik syarikat berkenaan sendiri,” menurut kenyataan tersebut.


Bagaimanapun, keputusan muktamad pembelian hartanah komersial itu masih bergantung kepada kelulusan para pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa kumpulan tersebut pada 22 Oktober 2025.


Selain itu, jelas VCB, antara risiko besar yang turut dikenal pasti termasuk cabaran dari segi pembiayaan, dan potensi pengambilan secara paksa oleh pihak berwajib kerana ia cuma berstatus sebagai pajakan.


Ia memaklumkan yang semua syarat terdahulu SPA sudah dipenuhi termasuk kelulusan pihak berkuasa dan pengesahan daripada badan pengurusan bangunan dan hanya menunggu kelulusan pemegang saham.


"Di samping itu, VCB turut menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam transaksi ini," katanya.


Lembaga Pengarah juga bersetuju mengesyorkan para pemegang saham agar meluluskan resolusi berkaitan cadangan pengambilalihan hartanah tersebut pada mesyuarat yang bakal diadakan itu. - DagangNews.com