Verdant Solar perlu beri perhatian isu tiada dasar dividen sebelum penyenaraian - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Verdant Solar perlu beri perhatian isu tiada dasar dividen sebelum penyenaraian - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Okt - Verdant Solar Holdings Berhad wajar memberi perhatian serius terhadap beberapa risiko besar sebelum penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Oktober 2025.


Menurut TA Securities, kumpulan itu tampil dengan prospek pertumbuhan menarik dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), namun pelabur turut menilai pelbagai risiko perniagaan utama syarikat.


Antara paling ketara, tambah firma penyelidikan tersebut ialah ketiadaan langsung sebarang dasar dividen rasmi yang berpotensi menjejaskan prestasi dan keyakinan pelabur sahamnya selepas penyenaraian.


"Setakat ini, Verdant Solar belum menetapkan sebarang dasar pembayaran dividen dan ini menimbulkan ketidaktentuan bagi para pelabur runcit atau institusi," katanya dalam satu nota kajian hari ini.


Kelazimannya jelas TA Securities, polisi itu memang penting kerana pelabur menjadikan isu pulangan dividen sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan mereka sama ada jangka pendek atau panjang.


Dalam konteks syarikat di fasa pertumbuhan agresif, keutamaan mungkin pelaburan semula keuntungan, tetapi ketiadaan dasar agihan itu boleh mengurangkan tarikan kepada pelabur jangka sederhana.


Selain itu kata firma berkenaan, Verdant Solar dinilai terlalu bergantung hanya kepada pendapatan daripada projek reka bentuk dan kerja pemasangan sistem solar yang lebih bersifat tidak berulang.


"Keadaan ini dikhuatiri boleh mewujudkan ketidaktentuan aliran tunai dan pendapatan, apabila ia berharap kepada bilangan dan saiz kontrak baharu yang diperoleh pada setiap tempoh," kata TA Securities.


Pada masa sama, sebahagian besar kerja teknikal diserah kepada subkontraktor yang mendedahkannya kepada risiko kelewatan, kawalan kualiti dan potensi ketidakpatuhan terhadap piawaian peraturan.


Verdant Solar juga katanya, berdepan risiko harga panel solar, inverter dan komponen lain akibat ketidaktentuan dasar eksport negara pengeluar seperti China yang boleh memberi kesan langsung.


Kata TA Securities, margin keuntungan boleh terjejas dan sebarang kelewatan stok atau peningkatan kos yang tidak dapat dipindahkan kepada pelanggan dapat mengancam kedudukan kewangan syarikat.


"Prestasi pasaran solar tempatan sangat dipengaruhi oleh inisiatif kerajaan dan apa-apa perubahan dasar, atau penamatan insentif boleh mengganggu permintaan dan prospek pertumbuhan," katanya lagi.


Secara keseluruhan, Verdant Solar yang ditubuhkan pada 2013 merupakan penyedia perkhidmatan solar kediaman yang berkembang pesat, dengan rekod lebih 2,000 projek melibatkan 3,000 pelanggan.


TA Securities menyifatkan kumpulan ini ada potensi cerah kerana setakat September 2025, ia sudah menguruskan kapasiti keseluruhan RE yang melebihi 78.69MWp melalui pelbagai segmen perkhidmatan.


Justeru tambahnya, syarikat ini masih memiliki kelebihan kompetitif,  prestasi kewangan,  strategi masa hadapan, prospek industri dan pertumbuhan yang mampu memberikan pulangan kepada pelaburnya.


"Berdasarkan perkembangan semasa, kami memberi saranan 'langgan' kepada saham Verdant Solar dengan harga sasaran selepas penyenaraian mampu mencecah 38 sen," kata firma berkenaan. - DagangNews.com