KUALA LUMPUR 29 Sept – Verdant Solar Holdings Berhad mengukuhkan langkah menuju penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila memeterai perjanjian taja jamin bersama Mercury Securities.
Penyedia perkhidmatan sistem solar fotovoltaik (PV) tersebut berkata, firma berkenaan akan bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi syarikat itu.
Katanya, langkah penting tersebut disusuli dengan pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) syarikat, yang membuka laluan kepada usaha penyenaraian dijadualkan pada 22 Oktober 2025.
"Kami menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM44.02 juta hasil kasar menerusi terbitan sejumlah 142 juta saham baharu pada harga 31 sen sesaham," kata Verdant Solar dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan modal saham selepas IPO berkenaan diterbitkan kira-kira 817.62 juta unit, syarikat yang ditubuhkan sejak 2015 itu bakal mencatatkan modal pasaran mencecah sebanyak RM253.46 juta.
Hasil kutipan ini jelasnya, akan digunakan kumpulan tersebut bagi memperluaskan operasi, termasuk 31.80% untuk penubuhan pejabat cawangan baharu syarikat antaranya di Melaka, Kuantan dan Ipoh.
Sementara 22.72% bagi pelaburan strategik, penggabungan dan pengambilalihan (M&A), manakala 8.63%untuk naik taraf infrastruktur digital, serta baki sebagai modal kerja am dan kos penyenaraian.
"Verdant terlibat dalam keseluruhan rantaian projek solar PV daripada reka bentuk, kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) melalui aplikasi khas Verdant Home App," katanya.
Syarikat berkenaan jelasnya, turut aktif dalam perdagangan pelbagai produk solar, termasuk sistem pengudaraan berjenama sendiri, Verdant Star di samping menawarkan perkhidmatan selepas jualan.
Pengarah Urusan Verdant Solar, Lim Tzer Haur berkata, perjanjian taja jamin dan penyenaraian di Pasaran ACE merupakan pemangkin utama pertumbuhan berterusan syarikat selepas satu dekad dibentuk.
“Kami komited usaha ini membuka peluang dalam mengukuhkan kehadiran di pasaran serta menempatkan syarikat di barisan hadapan menjelang pelaksanaan program Solar ATAP oleh kerajaan," katanya.
Beliau turut menjelaskan, dana hasil IPO membolehkan Verdant menambah cawangan di banyak lokasi, mempercepatkan pelaburan strategik, dan menambah baik keupayaan aplikasi digital pelanggannya.
Tempoh permohonan saham IPO itu bermula hari ini sebelum ditutup pada 7 Oktober 2025 dengan Mercury Securities diberi kepercayaan penuh mengemudi keseluruhan proses penyenaraian dan pengagihan.
Kemasukan Verdant Solar di Pasaran ACE mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek sektor solar, dipacu permintaan meningkat dan dasar kerajaan progresif ke arah tenaga bersih. - DagangNews.com








