KUALA LUMPUR 8 Okt – Verdant Solar Holdings Berhad dilihat memiliki asas pertumbuhan kukuh dalam sektor solar kediaman, namun beberapa risiko utama perlu diberi perhatian, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, antara paling besar ialah ketiadaan projek jangka panjang yang stabil, selain persaingan sengit berpotensi menjejaskan kesinambungan pertumbuhan syarikat berkenaan.
Tambahnya, ketika tempahan projek semasa bernilai RM44.2 juta dijangka disumbangkan dalam tempoh enam bulan, ia memberi amaran dua risiko itu boleh mewujudkan cabaran kestabilan pendapatannya.
“Tiada kejelasan kesinambungan kontrak selepas tempoh jangka pendek ini meningkatkan kebergantungan Verdant Solar kepada aktiviti jualan baharu secara berterusan,” kata RHB Research dalam notanya.
Selain itu, kumpulan berkenaan yang ditubuhkan pada 2013 tambahnya, perlu berwaspada dengan isu perubahan dasar kerajaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) terutama peruntukan inisiatif.
Kebergantungan kepada insentif dan program kerajaan menjadikan syarikat berkenaan lebih mudah untuk terdedah luas kepada risiko perubahan polisi politik atau peralihan belanjawan tahunan negara.
Begitu juga kata RHB Research, ketidakstabilan harga komponen utama seperti panel boleh memberi kesan kepada margin keuntungan Verdant Solar, memandangkan mereka tidak terlibat dalam pengilangan.
"Kami juga menilai persaingan semakin kompetitif dengan kemunculan banyak pemain baharu dan ini boleh menjejaskan margin, menekan harga, dan meningkatkan kos pemerolehan pelanggan," katanya lagi.
Ia turut melihat syarikat sebagai pemain kecil berbanding yang lain, dan mungkin berdepan kekangan dari segi saiz akses kepada modal, keupayaan skala, serta daya saing dalam projek berskala besar.
Walaupun dibayangi risiko, RHB Research masih melihat potensi pertumbuhan menarik sektor solar kediaman, dengan Verdant Solar menonjol sebagai peneraju pasaran melalui penguasaan 10.9% pasaran.
Prospek syarikat dipadu faktor permintaan kukuh terhadap sistem solar baharu di kawasan perumahan, dengan 59% hasil FY25 dijana daripada pelanggan rujukan, menandakan kepuasan dan kekuatan reputasi.
"Pasaran yang belum diteroka juga masih lagi besar dengan 98% isi rumah di Malaysia dikenal pasit belum memasang sistem solar, bersamaan potensi pasaran bernilai RM88 bilion," kata firma tersebut.
Menyentuh penyenaraian Verdant Solar di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Oktober 2025, RHB Research optimis dana RM44 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) akan memanfaatkan syarikat.
Ini katanya, termasuk perluasan capaian di seluruh negara, peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta meningkatkan modal kerja untuk operasi harian dan pertumbuhan agresif kumpulan itu.
Ia menetapkan nilai wajar 44 sen sesaham dengan unjuran pertumbuhan pendapatan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 11% dari 2025 hingga 2028 yang dianggap menarik dalam jangka sederhana.
"Penilaian semasa Verdant Solar mampu menawarkan potensi pulangan, namun hanya sesuai untuk pelabur dengan toleransi risiko sederhana ke tinggi," kata RHB Research. - DagangNews.com








