Vendor Bumiputera di bawah Program VDP UEM Edgenta catat peningkatan hasil secara purata sebanyak 30% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vendor Bumiputera di bawah Program VDP UEM Edgenta catat peningkatan hasil secara purata sebanyak 30%

SEBAHAGIAN peserta Program Pembangunan Vendor (VDP) yang menerima sijil pada Majlis Graduasi VDP di UEM Edgenta Learning Centre, Petaling Jaya, Selangor pada 11 November 2025. - DagangNews.Com / Amree Ahmad
Oleh Amree Ahmad

UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), sayap pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur di bawah UEM Group Berhad (UEM Group), telah menyalurkan 56% daripada jumlah perbelanjaan perolehan pada 2025 setakat ini kepada vendor berdaftar Bumiputera.


Secara keseluruhan pula, daripada sejumlah 5,623 vendor berdaftar dengan UEM Edgenta, kira-kira 50.3% terdiri daripada vendor Bumiputera, mencerminkan komitmen syarikat mengukuh penyertaan usahawan itu dalam rantaian bekalan nasional.


Langkah ini sejajar inisiatif 'Raise the Floor' di bawah program GLC Activation and Reform (GEAR-uP) memacu pertumbuhan serta memperkasa usahawan melalui pembangunan kapasiti dan perkongsian strategik. 


Menurut Pengarah Urusan UEM Group dan Ahli Lembaga Pengarah UEM Edgenta, Datuk Amran Hafiz Affifudin, komitmen ini bukan sekadar melibatkan pemberian kontrak, sebaliknya usaha menyeluruh memupuk keupayaan tempatan.


"Bagi mencapai matlamat ini, semua anak syarikat UEM Group, termasuk UEM Edgenta melaksanakan Program Pembangunan Vendor (VDP), satu inisiatif berstruktur bagi memperkukuh daya saing vendor," kata beliau.


Pelaksanaan program ini di bawah UEM Edgenta yang bermula pada 2022 telah menyaksikan seramai 21 vendor meraih manfaat melalui latihan pengurusan projek, keusahawanan, pengurusan kontrak, konsultasi perniagaan serta akses kepada kemudahan pembiayaan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
 

Amran Hafiz UEM
AMRAN HAFIZ AFFIFUDIN


VDP turut menunjukkan impak positif apabila para peserta mencatat purata peningkatan hasil sebanyak 30% dan kenaikan kira-kira 23% dalam perolehan perniagaan baharu daripada UEM Edgenta sendiri.


Majlis Graduasi VDP yang diadakan di UEM Edgenta Learning Centre, Petaling Jaya, Selangor pada 11 November 2025 meraikan 15 vendor Bumiputera daripada Kohort 1 dan 2 serta mengalu-alukan 6 peserta baharu bagi kohort ketiga.


Acara tersebut turut disaksikan oleh wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta rakan-rakan industri utama, menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh ekosistem vendor.


Program ini juga berjaya membuka peluang pembiayaan dengan jumlah geran kolektif bernilai RM1.68 juta bagi tujuan penaiktarafan sistem, pensijilan dan peningkatan keupayaan operasi.


Antara vendor yang menyerlah ialah MB Hi-Tech Engineering Services Sdn Bhd, penyedia rumusan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) dari Johor Bahru yang bekerjasama dengan UEM Edgenta sejak 2012 


Tidak ketinggalan ialah Mubiplas Industries Sdn Bhd (MUBI) di Kuala Lumpur yang berkembang daripada hanya perniagaan perdagangan pada 1990-an kepada pengilang produk plastik dan peralatan perubatan.

 

UEM
SEKUMPULAN peserta baharu Program Pembangunan Vendor (VDP) diraikan Ketua Pegawai Kewangan UEM Edgenta, Ahmad Fazril Fauzi (tiga dari kiri), dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan), KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan (empat dari kanan), baru-baru ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad


VDP cerminkan komitmen UEM Edgenta perkasa usahawan Bumiputera


Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Berhad, Shaiful Subhan berkata, VDP mencerminkan keyakinan kukuh syarikat memperkasa perniagaan tempatan.


Tambahnya, ia juga adalah kunci dalam membentuk ekonomi yang seimbang, mampan dan berdaya saing untuk masa hadapan serta berupaya membina secara kukuh jaringan bekalan negara.

 

 

 

 

 


Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh ekosistem rantaian bekalan UEM Edgenta, malah selari aspirasi kerajaan mengangkat perusahaan Bumiputera serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Shaiful menjelaskan, sejak diperkenalkan, VDP memperkukuh komitmen UEM Edgenta dalam membangunkan keupayaan vendor tempatan melalui latihan dan bimbingan secara berstruktur. 


"Pencapaian ini membuktikan keberkesanan program dalam mendorong pertumbuhan terukur, membina daya tahan serta menjana nilai jangka panjang kepada keseluruhan ekosistem vendor," katanya.


Tambahnya lagi, kejayaan VDP turut menyokong matlamat Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030) dengan memastikan vendor Bumiputera berdaya tahan dan berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar. 
 

Shaiful Subhan UEM
SHAIFUL SUBHAN


VDP ujarnya, bukan sekadar platform pembangunan kapasiti, tetapi juga pemangkin ke arah pembentukan rantaian bekalan yang lestari dan berimpak tinggi, sejajar dengan agenda kemakmuran bersama negara.
 

Kisah 1: MB Hi-Tech Engineering Services Sdn Bhd berdaya saing global selepas sertai VDP


Syarikat Bumiputera di selatan tanah air ini pada awalnya adalah kontraktor berskala sederhana, namun kini yakin mampu bersaing di peringkat antarabangsa setelah menyertai VDP kelolaan UEM Edgenta pada 2023.


Pengarah Urusannya, Ismail Abu Salib mendedahkan, penyertaan dalam VDP membawa peningkatan ketara dalam aspek keupayaan syarikat, terutamanya memantapkan pengurusan dan memperkasakan sistem operasi.


Ia mula menjadi vendor kepada UEM Group sejak 2012, sebelum syarikat dijemput menyertai VDP setelah UEM Group menjalankan penilaian dan pra-kelayakan tugasan tertentu terhadap syarikat.


Sebelum menyertai program berkenaan kata beliau, MB Hi-Tech beroperasi langsung tanpa ada sebarang jalan kerja sistematik dan pembangunan bergantung sepenuhnya pada kepakaran dalaman mereka.


“Dengan adanya VDP, kami ada satu sistem sistematik dan pengaturan pentadbiran syarikat lebih mantap, menjadikan saya lebih yakin untuk mengakses pasaran,” kata Ismail yang berasal dari Pulau Pinang.


Impak ketara VDP termasuk:


1. Peningkatan Keupayaan Data: Syarikat kini mempunyai data direkodkan, membolehkan mereka menghasilkan carta perniagaan dan jualan, yang sebelum ini tidak dapat dilakukan kerana syarikat berorientasikan teknikal kejuruteraan dan bukannya perancangan perniagaan. Dokumen yang lebih profesional ini memudahkan sokongan kewangan daripada bank.


2. Pengukuhan Staf: Syarikat bermula dengan kira-kira lima orang staf sahaja. Selepas hampir 12 tahun bersama UEM Edgenta, syarikat kini berkembang dan mempunyai hampir 50 orang pekerja.


3. Perancangan Strategik: Latihan VDP memberi pendedahan untuk memantapkan susun atur syarikat dan membolehkan perancangan perniagaan yang lebih strategik.


Perkembangan projek dan pendedahan global


Skop kerja utama MB Hi-Tech melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan M&E di lebuh raya, termasuk penyelenggaraan lampu jalan, dan aset-aset lain di kawasan seperti Senai ke Tuas Highway dan Skudai-Senai.


Melalui VDP, syarikat mendapat akses kepada pasaran yang lebih besar, termasuk TNB dan terbaharu, kontrak daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi pelaksanaan kerja-kerja tempatan banjir.
 

Ismail Abu Salib
ISMAIL ABU SALIB


Perkara paling penting dicapai adalah pendedahan di luar negara


1. Syarikat berpeluang melawat China pada tahun lepas untuk mengakses peluang pasaran dan potensi teknologi kenderaan elektrik (EV).


2. Penyertaan dalam ekspo Saudi Build 2025 di Riyadh, yang dianjurkan oleh Matrade, membuka mata syarikat bahawa mereka layak bersaing di peringkat global.


Motivasi utama syarikat menyertai VDP adalah untuk meningkatkan keupayaan melalui latihan, pendedahan, dan pembangunan kepakaran staf agar menjadi pakar industri dan meningkatkan standard operasi.


Ismail, 49 tahun, mempunyai latar belakang dalam bidang kemahiran dan teknikal, memulakan kerjaya sebagai operator kilang sebelum menceburi bidang minyak dan gas bersama PETRONAS serta firma di Amerika Syarikat.


Beliau melihat penyertaan dalam program pemerkasaan sebegini sebagai tanggungjawab dan amanah untuk membuktikan syarikat Bumiputera mampu mencapai kecemerlangan, membina legasi perniagaan berdaya tahan.


Ia selari dengan visi jangka panjang untuk membangunkan tenaga mahir bumiputera dan mewujudkan peluang pekerjaan, bahkan syarikatnya bersedia meneroka pasaran antarabangsa dan bukan hanya di litar tempatan.


Kisah 2: MUBI yakin bersaing global, tingkatkan ESG selepas sertai VDP


Syarikat ini mengendalikan sebuah kilang yang mengkhusus dalam pembungkusan plastik, telah mencatatkan peningkatan signifikan dalam kecekapan operasi dan kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).


Pengarah Urusannya, Samaniah Musa, yang merupakan generasi kedua dalam perniagaan keluarga syarikat tersebut berkata, pendedahan dan latihan di bawah VDP telah memperkukuh kedudukan MUBI sendiri. 


"Malah kami dapat menyamakan jurang antara syarikat PKS dengan syarikat milik kerajaan (GLC) sejak menyertai VDP kelolaan UEM Edgenta pada 2023," jelas beliau yang berusia 45 tahun.


Perkembangan syarikat dan pertumbuhan kapasiti


MUBI memulakan operasi sebagai perniagaan pengedaran sebelum bertukar menjadi kilang plastik berskala kecil di Kuala Lumpur pada 2006, dan meluaskan operasi dengan berpindah ke Kemaman, Terengganu pada 2018.


Ia mula menjadi pembekal kepada UEM Edgenta pada 2020, dan selepas dua tahun menjadi pembekal, syarikat menjalani penilaian kecemerlangan perniagaan untuk melayakkan mereka menyertai VDP 


Pencapaian utama MUBI termasuk:


1. Syarikat bermula hanya lima orang pekerja, kini ada kira-kira 45 staf dengan kilang di Terengganu, beroperasi 24 jam. MUBI juga merancang menambah bahagian baharu dan sekitar 10 pekerja lagi.


2. VDP menekankan kepentingan menetapkan sasaran setiap tahun, dengan pergerakan syarikat kini mengikut perancangan strategik yang sistematik ditetapkan berdasarkan sasaran yang perlu dicapai.


MUBI membekalkan kontena sisa dan tong plastik sampah kepada UEM Edgenta, terutamanya digunakan bagi barangan buangan hospital, serta meliputi hospital kerajaan dan swasta seperti KPJ di seluruh Malaysia.


Melalui VDP, Samaniah berkata, MUBI mendapat pendedahan meluas termasuk latihan dalam bidang sumber manusia, kepimpinan, kewangan, dan transformasi kecerdasan buatan (AI).


Di bawah VDP UEM Edgenta, MUBI mula memberi penekanan yang lebih serius terhadap isu keselamatan pekerja, tanggungjawab sosial korporat (CSR), dan komitmen ESG serta keupayaan eksport.
 

SAMANIAH MUSA
SAMANIAH MUSA


Antara inisiatif yang dijalankan oleh MUBI:


1. Tenaga Boleh Diperbaharui: Syarikat telah memasang solar perbelanjaan modal sifar yang berkapasiti 441 kWp di kilangnya di Kemaman.


2. Produk Hijau: MUBI berjaya mengeluarkan produk baharu yang mendapat pensijilan Ecolabel dan M-Hijau, selaras dengan program ESG.


3. CSR: Syarikat aktif mengadakan aktiviti CSR, seperti penganjuran program derma darah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat ini membantu mencipta imej korporat yang kukuh.

 

 

 

 

 


Samaniah menyatakan pendedahan VDP turut menyuntik keyakinan kepada MUBI untuk memasuki pasaran global, walaupun buat masa ini syarikat sudah membekal melalui klien sebelum dijual di luar negara.


Pendedahan di pameran antarabangsa menunjukkan produk mereka diminati oleh negara luar, dan kini menjadi sebahagian daripada perancangan jangka pendek syarikat meneroka pasaran lebih luas. - DagangNews.com