KUALA LUMPUR 11 Mei - Prospek Velesto Energy Bhd dijangka terus kukuh susulan peningkatan harga minyak global yang akan mendorong Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) meningkatkan perbelanjaan modal (capex) sektor huluan, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan itu menjangkakan PETRONAS akan mempercepatkan aktiviti penerokaan dan pembangunan berikutan harga minyak yang lebih tinggi serta peningkatan permintaan terhadap minyak mentah Malaysia.
Katanya, perang semasa melibatkan Amerika Syarikat/Israel dan Iran sejak Februari lalu dijangka menyebabkan harga minyak kekal tinggi lebih lama apabila negara-negara utama meningkatkan simpanan inventori tenaga masing-masing.
Sehubungan itu, CGSI menaikkan andaian kadar kontrak harian (DCR) bagi pelantar jack-up Velesto yang belum dikontrak kepada AS$100,000 sehari bagi FY26F, AS$105,000 sehari bagi FY27F dan AS$110,000 sehari bagi FY28F.
CGSI turut mengekalkan saranan “Add” terhadap Velesto dengan menaikkan harga sasaran (TP) berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) kepada 32 sen berbanding 31.5 sen sebelum ini.
Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran dividen sesaham (DPS) Velesto bagi tahun kewangan 2026 (FY26F) kepada 9 sen daripada 3 sen sebelum ini, sekali gus menawarkan potensi pulangan keseluruhan setahun sebanyak 32%.
Mengurus Portfolio Strategik
Menurut CGSI, Velesto juga dilihat mengurus portfolio kontraknya secara strategik apabila dilaporkan menarik keluar pelantar Naga 8 daripada kontrak Petronas Ketapang di Indonesia yang menawarkan kadar lebih rendah sekitar AS$85,000 sehari.
Sebaliknya, pelantar itu dijangka digunakan untuk kontrak baharu bersama Hess di Malaysia pada kadar lebih tinggi iaitu sekitar AS$100,000 sehari.
Dalam masa sama, Velesto dijangka mengumumkan kontrak penggerudian berasaskan aset ringan bersama Hibiscus Petroleum melibatkan pelantar Shelf Drilling Enterprise bagi operasi di Kawasan Pengaturan Komersial PM3 selama 120 hari.
CGSI berkata, langkah itu berpotensi menjadi permulaan kepada lebih banyak kontrak sewaan semula bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Dari sudut pulangan pemegang saham, Velesto dijangka terus memberi fokus kepada pembayaran dividen lebih tinggi sambil mengehadkan capex kepada projek naik taraf pelantar sedia ada.
Firma penyelidikan itu berkata, Velesto dijangka melengkapkan penjualan pelantar Naga 3 bernilai AS$63 juta menjelang pertengahan 2026, yang berpotensi diterjemahkan kepada pembayaran dividen khas sebanyak 3 sen sesaham.

Selain itu, program Sukuk Wakalah bernilai RM1 bilion yang diwujudkan pada Mac lalu dijangka membantu membiayai tambahan dividen khas sebanyak 3 sen tahun ini.
“Secara keseluruhan, kami menaikkan unjuran DPS FY26F kepada 9 sen selepas mengambil kira pembayaran dividen khas sebanyak 6 sen,” katanya.
Menurut CGSI, pemangkin utama kepada penarafan semula saham Velesto termasuk pengumuman dividen khas serta kontrak aset ringan bersama Hibiscus Petroleum.
Bagaimanapun, firma itu turut mengingatkan risiko utama termasuk peningkatan kos operasi lebih tinggi daripada jangkaan serta kelewatan peningkatan capex PETRONAS. - DagangNews.com








