Velesto bida projek bukan penggerudian RM600 juta sebagai strategi pelbagaikan perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Velesto bida projek bukan penggerudian RM600 juta sebagai strategi pelbagaikan perniagaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Jun — Velesto Energy Berhad membida beberapa projek bukan penggerudian yang bernilai RM600 juta sebagai sebahagian daripada strategi untuk mempelbagaikan jenis perniagaannya selain sektor petroleum.


Presidennya, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, langkah bersifat jangka panjang itu akan membolehkan hasil kumpulan pengendali pelantar 'jack-up' tersebut dipelbagaikan ketika situasi kelemahan harga minyak global.


Tambah beliau, Velesto sudah mula merancang berkembang kepada bidang yang berkaitan seperti aktiviti pengeluaran lapangan, sokongan aset lewat hayat, pembangunan laut dalam dan rumusan projek bersepadu (IPS).


"Kami membuat kemajuan ketara meluaskan hasil dengan kira-kira RM600 juta dalam bidaan bukan penggerudian. IPS kekal asas kami dengan usaha komersial selepas 2025 tertumpu peluang berpotensi tinggi," katanya.


Beliau menambah, langkah tersebut akan mengurangkan pergantungan kepada kadar hari pelantar dan meletakkan Velesto di hadapan banyak rakan setara serta meningkatkan daya tahan terhadap isu turun naik pasaran.


Situasi itu juga membuka laluan baharu untuk pertumbuhan mampan di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara selaras dengan prospek dan kemajuan syarikat dalam rancangan pengembangan bukan penggerudiannya.


Velesto sebelum ini memberikan laluan panjang sehingga 2028 untuk mengukuhkan usaha niaga bukan penggerudian kerana perniagaan penggerudian terikat dengan perbelanjaan modal syarikat minyak utama.


Bagaimanapun, harga minyak diniagakan kurang AS$70 (RM297.29) setong kerana kebimbangan ekonomi global disebabkan kesan tarif yang mempengaruhi permintaan dan menjejaskan pelaburan penggerudian masa depan.


Kumpulan berkenaan memiliki dan mengendalikan sejumlah enam pelantar penggerudian 'jack-up', yang boleh beroperasi pada kedalaman air sehingga 122 meter, dan cukup sesuai untuk perairan cetek rantau Asia Tenggara. 


Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025, keuntungan bersih Velesto melonjak 12.39 peratus tahun ke tahun kepada RM52.61 juta dengan 99.5 peratus perniagaan penggerudian, meningkat berbanding 97.3 peratus pada 2024.


Walaupun terdapat kelembapan umum dalam permintaan pelantar global dan harga minyak, Megat Zariman berkata, kadar sewa pelantar penggerudian di rantau ini adalah kekal secara relatif sebagai masih stabil.


"Aktiviti di ASEAN sebenarnya stabil meskipun persekitaran kadar telah diselaraskan, kerana disokong oleh permintaan penggerudian yang berterusan di Malaysia, Vietnam dan Indonesia," kata beliau.


Velesto namun meletakkan ramalan kadar penggunaan pelantar lebih konservatif sebanyak 70 peratus pada 2025, turun daripada 87 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com