Vast Evolve teroka Indonesia, labur RM100 juta bangunkan hab teknologi hijau di Dumai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vast Evolve teroka Indonesia, labur RM100 juta bangunkan hab teknologi hijau di Dumai

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 OktVast Evolve Sdn Bhd memperluaskan pasaran strategik ke Indonesia dengan pelaburan bernilai RM100 juta bagi pembangunan ekosistem perindustrian hijau bersepadu di Dumai.


Langkah syarikat teknologi hijau tempatan itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersempena dengan penganjuran Ekspo Perdagangan Indonesia 2025.


Ia melibatkan Vast Evolve, Kamar Dagang dan Industri (KADIN) Kota Dumai serta PT Bintang Kembar dengan pemeteraian disaksikan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono.


Menurut Pengarah Urusan dan Pengerusi Vast Group, Datuk Muhammad Nuzulnudin Maat, inisiatif ini mengukuhkan komitmen syarikat memperluaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).


"Kerjasama ini memacu ekonomi hijau di seluruh ASEAN dan membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi Malaysia–Indonesia, selari dengan visi kami menjadi pemangkin ESG di rantau ini,” katanya.


Vast Evolve, yang beribu pejabat di Johor, akan memfokuskan pelaburan kepada pembangunan loji tenaga boleh diperbaharui (RE), pusat kitar semula dan pemprosesan, serta hab inovasi lestari.


Syarikat tersebut kata Muhammad Nuzulnudin, berhasrat menjadikan Dumai yang terletak strategik di Wilayah Riau dan turut berdekatan Johor sebagai antara tapak industri hijau terkemuka di rantau ini.


Pelaburan ini juga jelas beliau, mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang giat mempromosikan syarikat Malaysia di pasaran antarabangsa.


“Usaha perluasan terbaharu ini mencerminkan komitmen Malaysia sendiri untuk muncul sebagai hab rumusan teknologi hijau dan inovatif di ASEAN dengan hubungan kerjasama dua hala,” jelas beliau.


Pada masa sama tambah Muhammad Nuzulnudin, melalui MoU dan MoA tersebut, Vast Evolve dan rakan-rakan kongsi Indonesia akan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik seperti Penubuhan pusat teknologi hijau.


Ia memberi tumpuan RE dan teknologi sisa-ke-tenaga; selain pelaksanaan program ESG dan kredit karbon rentas sempadan; penubuhan hab penyelidikan dan inovasi untuk embangunan bakat tempatan.


Syarikat itu juga akan melaksanakan projek ekonomi kitaran melibatkan kitar semula, pertanian hijau dan pembuatan lestari yang menyokong Rencana Pembangunan Jangka Menengah Nasional Indonesia.


Usaha itu selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, yang memperkukuh sinergi dua negara dalam inovasi teknologi, tadbir urus alam sekitar serta ekonomi yang mampan.


“Misi kami bukan sekadar berkembang sebagai entiti perniagaan, tetapi menjadi peneraju dalam mengubah landskap pembangunan ASEAN ke arah lebih hijau dan bertanggungjawab,” tegasnya.

 

Majlis tersebut turut disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Republik Indonesia, Roro Esti Widya Putri; Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Republik Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto dan Penolong Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Indonesia, Nadiyah Hanim Munir.- DagangNews.com