Varia terajui pembangunan komersial di tanah milik Citaglobal menerusi perjanjian JV | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Varia terajui pembangunan komersial di tanah milik Citaglobal menerusi perjanjian JV

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 25 Nov - Syarikat pembinaan Varia Berhad akan menerajui pembangunan sebuah projek komersial di Kuala Lumpur di atas sebidang tanah milik unit Citaglobal Bhd, menerusi perjanjian usaha sama yang memberikan Varia hak penuh ke atas keuntungan pembangunan projek tersebut.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Varia berkata pembangunan itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuhnya, Varia Crest Sdn Bhd (VC) bersama anak syarikat Citaglobal, Citaglobal Property Development Sdn Bhd (CPD).

 

Kerjasama tersebut melibatkan sebidang tanah pajakan seluas 6,410 meter persegi di Mukim Bandar Kuala Lumpur, yang dijangka akan didaftarkan atas nama CPD selepas proses penyempurnaan hak milik selesai.

 

 

 

 

 

 

Di bawah perjanjian itu, VC diberikan hak untuk membangunkan tanah berkenaan, dengan projek merangkumi ruang pejabat dan komersial.

 

Sebagai balasan terhadap sumbangan tanah, CPD “berhak menerima kombinasi pertimbangan tunai dan hak milikan unit hartanah dalam pembangunan tersebut”. Komposisi dan spesifikasi unit akan dimuktamadkan pada peringkat reka bentuk terperinci.

 

Sementara itu, Varia akan memiliki keseluruhan potensi keuntungan projek.

 

“Keuntungan pembangunan adalah hak penuh VC, dan CPD akan menggunakan usaha terbaik untuk menyokong VC dalam mengekalkan paras keuntungan yang diunjurkan serta tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menyebabkan hak VC jatuh di bawah anggaran yang dipersetujui,” menurut pemakluman tersebut.

 

Usaha sama ini tertakluk kepada beberapa syarat terdahulu yang perlu dipenuhi dalam tempoh empat minggu selepas tandatangan, termasuk VC mendapatkan jaminan korporat daripada Varia bagi pihak CPD.

 

 

 

 

 

 

Varia berkata pembangunan itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman, hasil jualan hartanah dan pinjaman bank.

 

Projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan selepas kelulusan pelan bangunan diperoleh. - DagangNews.com