KUALA LUMPUR 6 Jan – Vanzo Holdings Berhad menamatkan perjanjian pemegang saham (SHA) dengan rakan kongsi usaha sama, Duong Tien Dung, membabitkan syarikat Vanzo Viet Nam Company Limited (VVCL).
Syarikat penyedia produk wangian disenaraikan di Pasaran ACE itu berkata, Lembaga Pengarahnya menyatakan semua pihak bersetuju secara bersama untuk menamatkan perjanjian bertarikh 26 Jun 2025.
Tambah kumpulan berkenaan lagi, perkara tersebut turut dimuktamadkan kedua-dua pihak terbabit secara rasmi melalui Perjanjian Penamatan Timbal Balas (MTA) yang berkuat kuasa 6 Januari 2026.
"Keputusan ini dicapai dengan harmoni dan sukarela disebabkan oleh perbezaan dalam objektif serta pandangan perniagaan tidak sama antara dua pihak," maklum Vanzo kepada Bursa Malaysia hari ini.
Tambahnya, setakat tarikh perjanjian penamatan, kumpulan berkenaan turut belum menyalurkan sebarang sumbangan modal berjumlah AS$35,000 (RM141,657) yang mewakili 70% pegangan kepada VVCL.
Sehubungan itu, Duong Tien Dung kekal sebagai ahli tunggal syarikat tersebut buat masa ini, dan VVCL akan dibubarkan mengikut prosesundang-undang Vietnam dalam tempoh 10 hari bekerja.
Sementara itu, semua hak harta intelek termasuk tanda dagangan, logo, dan reka bentuk pembungkusan adalah milik eksklusif Vanzo, dengan tiada pihak lain dibenarkan menggunakan atau mendaftarkannya.
"Pihak pengurusan Vanzo menegaskan bahawa penamatan ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham terbitan, pegangan saham utama, atau pendapatan sesaham syarikat," katanya.
Lembaga Pengarah berpendapat langkah penamatan ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat, dan dokumen MTA berkaitan boleh diperiksa di pejabat berdaftar Vanzo. - DagangNews.com








