Vantris Energy hampir keluar status PN17, mampu untung dua suku berterusan – BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vantris Energy hampir keluar status PN17, mampu untung dua suku berterusan – BIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 SeptBIMB Securities menjangkakan Vantris Energy Berhad, yang dikenali sebagai Sapura Energy Berhad sebelum ini, mampu mencatatkan keuntungan dua suku kewangan berturut-turut. 


Firma penyelidikan itu berkata, ia sekali gus memenuhi syarat utama keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) selepas mencatatkan kerugian bersih pada suku kedua yang sebenarnya masih dalam jangkaan.


Ia menyatakan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu dijangka mencatatkan keuntungan secara luar biasa kira-kira RM2.4 bilion dalam tempoh suku ketiga yang berakhir 31 Oktober 2026.


Perkembangan positif tersebut, tambah BIMB Securities, susulan kejayaan pelaksanaan penstrukturan semula hutang kumpulan merangkumi pelan regularisasi secara besar-besaran mulai 26 September 2025.


“Kos kewangan dijangka jatuh mendadak kepada sekitar RM75 juta hingga RM80 juta, berbanding kira-kira RM200 juta sebelum ini,” kata firma itu berdasarkan panduan daripada pengurusan Vantris.


Selain itu, ia turut menambah risiko pertukaran mata wang asing (forex) yang kini lebih terkawal selepas usaha penstrukturan hutang dilaksanakan oleh kumpulan berkenaan dengan begitu agresif.


Syarikat berkenaan hari ini melaporkan keputusan kewangan pada 2QFY26 yang mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM230.76 juta, didorong oleh faktor kerugian forex mencecah kira-kira RM239 juta.


BIMB Securities menekankan keputusan itu masih dalam jangkaan dan jika impak kerugian forex dikecualikan, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) ialah RM8 juta.


Artikel berkaitan: Vantris Energy lengkapkan penstrukturan semula, namun rugi 2Q melebar kepada RM231 juta akibat forex


"Ini lebih baik berbanding kerugian teras RM465 juta pada suku pertama dan menunjukkan pemulihan asas yang kukuh selepas dibuat fasa penstrukturan semula,” tambah firma penyelidikan tersebut.


Bagaimanapun pendapatan Vantris katanya, mencatatkan penurunan sebanyak 12% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.1 bilion, disebabkan oleh sumbangan lebih lemah dari segmen kejuruteraan dan pembinaan.


Segmen operasi dan penyelenggaraan pula kata BIMB Securities, namun kekal mencatatkan keputusan yang positif dengan merekodkan untung sebelum cukai RM19 juta, walaupun berdepan tekanan margin.


Firma itu yang merupakan satu daripada hanya dua firma penyelidikan yang membuat liputan ke atas dagangan Vantris, masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 72 sen sesaham.


"Situasi ini berdasarkan penilaian risiko pencairan akibat pelan regularisasi diambil kira dalam harga semasa dan pada paras harga semasa, kami percaya potensi kejatuhan adalah terhad," katanya.


Meskipun terdapat pemulihan dari segi keuntungan teras, buku tempahan Vantris merosot kepada RM7.1 bilion bagi anak syarikat, dan RM4.1 bilion bagi usaha sama, mencerminkan kelembapan pengisian.


BIMB Securities menjangkakan tumpuan kini beralih kepada prestasi suku ketiga FY26, yang mungkin menjadi pemangkin utama kepada pemulihan semula keyakinan pelabur. - DagangNews.com