KUALA LUMPUR 21 April — Uzma Berhad menerusi anak syarikatnya mengorak langkah ke dalam segmen pertahanan yang berteknologi tinggi menerusi kerjasama strategik dengan Boustead Holdings Berhad.
Katanya, memorandum persefahaman (MoU) dimeterai Uzma Space and Defence Sdn Bhd dengan Boustead bagi meneroka peluang dalam bidang komunikasi satelit (Satcom) dan perisikan geospatial (Geoint).
Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kerjasama itu memberi fokus kepada pembangunan rumusan bersepadu melibatkan sektor pertahanan, keselamatan dan aplikasi strategik negara ini.
“Kerjasama meliputi penerokaan jauh, pemerhatian bumi serta analitik berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin bagi memenuhi keperluan operasi dan teknologi pelanggan,” katanya.
Selain itu jelasnya, kedua-dua pihak bekerjasama dalam pembangunan secara bersepadu, penyertaan bersama dalam tender serta usaha pembangunan perniagaan di Malaysia dan peringkat serantau.
MoU tersebut tambah kenyataan Uzma, juga merangkumi pelbagai inisiatif dalam aspek pemindahan pengetahuan dan pembangunan program latihan membabitkan bidang yang berkaitan dengan kerjasama.
Ujar kumpulan itu, perjanjian tersebut berkuat kuasa selama tempoh setahun bermula 21 April 2026 namun masih lagi boleh dilanjutkan berdasarkan kepada persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.
"Bagaimanapun, MoU ini bersifat tidak mengikat dan tidak melibatkan sebarang komitmen kewangan buat masa ini, serta tiada impak kewangan segera dijangka daripada inisiatif tersebut," katanya.
Sehubungan itu jelas Uzma, tiada kesan material dijangka terhadap pendapatan sesaham, aset bersih, tahap penggearan atau struktur pegangan saham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Sementara itu, risiko berkaitan kerjasama berkenaan dijangka minimum dan sebarang perjanjian muktamad pada masa depan akan dinilai dengan teliti oleh pihak pengurusan dan lembaga pengarah.
Uzma berkata, langkah itu sejajar dengan strategi syarikat mempelbagaikan perniagaan ke dalam segmen bernilai tinggi, khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara. - DagangNews.com








