Uzma berpotensi raih hasil RM2.5 juta sebulan menerusi kontrak terbaharu EnQuest, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Uzma berpotensi raih hasil RM2.5 juta sebulan menerusi kontrak terbaharu EnQuest, kata Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 AprilUzma Berhad diyakini mampu menjana purata hasil bulanan sekitar RM2.5 juta menerusi kontrak terbaharu yang diperoleh daripada EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd.


Menurut analisis Phillip Capital, perkembangan positif tersebut meskipun kontrak itu bernilai RM60 juta, dijangka mengukuhkan aliran pendapatan kumpulan dalam tempoh dua tahun yang akan datang.


Firma penyelidikan berkenaan menambah, kontrak perkhidmatan intervensi telaga bersepadu dan pengurusan projek itu dijangka memberi sumbangan yang stabil kepada prestasi kewangan kumpulan.


"Dengan andaian margin keuntungan bersih sebanyak 8%, projek ini dianggarkan menyumbang kira-kira RM1 juta kepada keuntungan selepas cukai Uzma bagi tahun kewangan 2026 (FY26)," jelasnya lagi.


Jumlah tersebut kata Phillip Capital, sekitar 1% daripada unjuran pendapatan syarikat, dan kontrak itu adalah selari dengan jangkaannya serta sudah dimasukkan dalam andaian buku tempahan sedia ada.


Tambahnya, kemenangan kontrak itu turut meningkatkan keterlihatan pendapatan disokong tender kukuh yang berjumlah RM2.6 bilion setakat 31 Disember 2025, meliputi 58% segmen minyak dan gas (O&G).

 

Artikel berkaitan: Uzma peroleh kontrak RM60 juta sediakan perkhidmatan telaga bersepadu daripada EnQuest

 

Uzma_DagangNews


Pada masa sama, prospek segmen huluan Uzma adalah kekal positif didorong peningkatan aktiviti penggerudian oleh PETRONAS yang menyasarkan 161 telaga pada 2026 berbanding 142 telaga pad 2025.


“Kumpulan rumusan perkhidmatan O&G kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peningkatan aktiviti huluan, khususnya melalui divisyen 'well solutions',” kata Phillip Capital.


Justeru, firma penyelidikan itu terus mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM1.10 sesaham, berasaskan penilaian lapan kali nisbah harga kepada perolehan (PE) bagi unjuran tahun kewangan 2027.


Ujarnya, saham Uzma ketika ini diniagakan pada sekitar tiga kali PE FY27, yang dianggap masih lagi menarik berbanding prospek pertumbuhan pendapatan kumpulan berkenaan terus semakin mengukuh.


Bagaimanapun, Phillip Capital mengingatkan antara risiko utama termasuk pengurangan tempahan, kelewatan projek serta peningkatan kos pelaksanaan yang boleh menjejaskan margin. - DagangNews.com