Uzma peroleh kontrak RM60 juta sediakan perkhidmatan telaga bersepadu daripada EnQuest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Uzma peroleh kontrak RM60 juta sediakan perkhidmatan telaga bersepadu daripada EnQuest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 AprilUzma Berhad mengesahkan anak syarikatnya, Setegap Ventures Petroleum Sdn Bhd (SVP), menerima surat penganugerahan (LOA) daripada EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd.


Kontrak terbaharu berkenaan kata kumpulan tersebut, bagi kerja-kerja penyediaan perkhidmatan intervensi telaga secara bersepadu dan pasukan pengurusan projek (PMT) untuk pelanggan terlibat.


Syarikat itu berkata, kontrak tersebut membabitkan Program Intervensi Telaga EnQuest bagi tahun 2026/2027 (Pakej A8) dengan nilai mencecah kira-kira RM60 juta sepanjang tempoh kontrak berkenaan.


"Skop kerja merangkumi penyediaan, pembekalan dan penyelenggaraan peralatan, aksesori serta alat ganti yang diperlukan bagi perkhidmatan intervensi telaga," maklum Uzma kepada Bursa Malaysia.


Di samping itu tambah kumpulan tersebut, kontrak baharu berkenaan berkuat kuasa selama tempoh dua tahun bermula pada 19 Februari 2026 sebelum ditamatkan menjelang 18 Februari 2028.


Dari segi risiko, syarikat tersebut menjelaskan yang projek berkenaan terdedah kepada risiko operasi dan pelaksanaan termasuk jadual kerja, garis masa penghantaran serta faktor cuaca.


Bagaimanapun jelas Uzma, kontrak itu tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham dan struktur pegangan saham syarikat berkenaan kerana tidak melibatkan penerbitan apa-apa saham baharu.


"Tender ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil serta aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya sehingga tamat tempoh kontrak,” tambahnya.


Selain itu, kumpulan berkenaan turut memaklumkan yang tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.


Pada masa sama tambahnya, Lembaga Pengarah Uzma berpandangan penerimaan kontrak berkenaan adalah demi kepentingan terbaik syarikat tersebut.  - DagangNews.com