Uzma berisiko peroleh tempahan kerja lebih rendah daripada jangkaan - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Uzma berisiko peroleh tempahan kerja lebih rendah daripada jangkaan - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Jun — Uzma Berhad dijangka berdepan dengan risiko pemerolehan tempahan kerja pelanggan yang lebih rendah daripada jangkaannya pada tahun ini, kata Phillip Capital.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan itu turut perlu bersedia dengan kemungkinan besar berlaku kelewatan untuk beberapa projek lagi yang diusahakan ketika ini atas pelbagai faktor.


Ia menambah, syarikat berkenaan turut akan menyaksikan peningkatan dalam kos pelaksanaan untuk projek-projek tertentu yang seterusnya boleh menjejaskan pula prospek pertumbuhan.


"Walaupun pendapatan Uzma pada FY25 diunjur merosot, momentum hasil bersedia mengukuh pada 2026, didorong daripada pelbagai kontrak," kata Phillip Capital dalam satu nota kajiannya.


Pada 23 Mei 2025, Uzma memperoleh kontrak satelit penderiaan jauh negara, iaitu projek kerjasama selama lapan tahun yang akan dilaksanakan menerusi perkongsian awam-swasta.


Projek itu merangkumi tiga tahun fasa pembangunan dan lima tahun operasi di orbit bumi rendah selain ia disokong oleh keseluruhan buku tempahan kukuh sebanyak RM4 bilion.


Uzma dijangka memulakan penyewaan kapal seismik mulai 25 Ogos 2025 dan seterusnya, dengan pengurusan kumpulan itu mengunjurkan sumbangan keuntungan tahunan sebanyak RM10 juta.


Phillip Capital bagaimanapun optimis dengan prospek perniagaan satelit pemantauan bumi resolusi tinggi komersial pertama negara, SAT-1 dilancarkan Uzma pada 15 Januari 2025.


Potensi daripada satelit berkenaan tambah firma penyelidikan itu dijangka menjana hasil tahunan sehingga RM10 juta, yang mengukuhkan lagi aliran pendapatan secara berulang.


"Kami mengulangi saranan 'beli' ke atas saham kumpulan ini dan harga sasaran masih lagi dikekalkan tidak berubah kepada 76 sen yang berdasarkan unjuran FY26," katanya. - DagangNews.com