UWC dijangka memasuki kitaran pendapatan lebih kukuh, HLIB naikkan TP kepada RM5.60 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UWC dijangka memasuki kitaran pendapatan lebih kukuh, HLIB naikkan TP kepada RM5.60

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 April - UWC Bhd dilihat memasuki fasa kitaran pendapatan yang lebih kukuh disokong peningkatan tempahan semikonduktor segmen front-end yang mula memberi impak ketara kepada segmen back-end sedia ada, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menaikkan harga sasaran (TP) UWC kepada RM5.60 daripada RM4.85 sebelum ini, sambil mengekalkan saranan ‘BELI’ ke atas kaunter tersebut.

 

Menurut HLIB, momentum pertumbuhan syarikat semakin jelas menuju separuh kedua tahun kalendar 2026, dipacu oleh peningkatan volum daripada pelanggan utama front-end, Pelanggan L, serta permintaan lebih kukuh daripada pelanggan back-end dalam segmen memori, CPU dan peralatan ujian.

 

"Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (FY26), Pelanggan L menyumbang sekitar RM75 juta hingga RM85 juta atau 30% hingga 35% daripada hasil kumpulan, sekali gus melepasi jangkaan pengurusan bagi keseluruhan tahun iaitu RM100 juta hingga RM120 juta," kata dalam nota kajian.

 

Menurut HLIB, prestasi tersebut mencerminkan peningkatan beban kerja lebih tinggi daripada jangkaan di operasi pelanggan berkenaan di Malaysia, seiring pemulihan permintaan peralatan fabrikasi wafer (WFE) di rantau Asia.

 

Firma itu turut menyatakan perbincangan berkaitan rebat harga 5% hingga 10% sekiranya pesanan tahunan melebihi AS$50 juta menunjukkan komitmen jangka panjang yang lebih kukuh, dengan nilai pesanan berpotensi mencecah AS$60 juta hingga AS$80 juta.

 

Sehubungan itu, unjuran hasil bagi Pelanggan L turut dinaikkan kepada RM160 juta bagi FY26, RM198 juta bagi FY27 dan RM238 juta bagi FY28.

 

Dalam perkembangan lain, pemangkin pertumbuhan tambahan turut disokong oleh penglibatan UWC dengan pelanggan front-end berpangkalan di Amerika Syarikat, dikenali sebagai Pelanggan A, yang sedang membangunkan fasiliti baharu secara berasingan.

 

Walaupun pengurusan melihat potensi tempahan daripada Pelanggan A boleh setanding dengan Pelanggan L, HLIB mengekalkan unjuran hasil konservatif antara RM36 juta hingga RM80 juta buat masa ini, sementara menunggu kejelasan lanjut pada separuh kedua 2026. - DagangNews.com