UUE peroleh kontrak bernilai RM26.7 juta kerja kabel bawah tanah TNB di Pantai Timur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UUE peroleh kontrak bernilai RM26.7 juta kerja kabel bawah tanah TNB di Pantai Timur

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 OktUUE Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Kum Fatt Engineering Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM26.7 juta daripada Sutera Utama Sdn Bhd dalam surat bertarikh 29 Oktober 2025.


Penyedia rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah itu berkata, tender berkenaan melibatkan kerja-kerja pemasangan, pengujian dan pentauliahan kabel bawah tanah berkapasiti 11kV jenis aluminium XLPE. 


Selain itu jelas kumpulan tersebut, subsidiarinya itu akan melaksanakan segala aksesori di bawah pembangunan aset Bahagian Rangkaian Pengagihan Tenaga Nasional Berhad (TNB) wilayah Pantai Timur.


"Tempoh kontrak adalah selama 730 hari dari tarikh notis mula kerja dengan opsyen lanjutan setahun bergantung kepada prestasi projek," kata UUE Holdings dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.


Ia menjelaskan kontrak baharu ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya, tanpa memberi kesan kepada struktur modal.


Pihak Lembaga Pengarah turut menegaskan yang tender tersebut adalah dalam urusan biasa aktiviti perniagaan kumpulan dan penerimaannya selaras dengan kepentingan terbaik UUE Holding sendiri.


Selain itu juga, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama, atau individu berkaitan dengan syarikat berkenaan yang dikenal pasti mempunyai sebarang kepentingan dalam kontrak tersebut.


"Kontrak ini mengukuhkan kedudukan UUE Holdings dalam menyokong pembangunan infrastruktur tenaga negara, selaras dengan agenda naik taraf grid TNB dan pelan peralihan tenaga negara," katanya.


Berdasarkan kepada perkembangan positif itu, buku tempahan semasa kumpulan turut meningkat kepada RM454.6 juta, iaitu rekod tertinggi sejak penyenaraian syarikat berkenaan pada Julai 2024.


Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ting Kok Hwa, kejayaan tender itu meningkatkan perolehan kumpulan untuk tiga tahun akan datang dalam bidang infrastruktur tenaga. - DagangNews.com