UUE Holdings peroleh kontrak bernilai RM67.3 juta kerja pasang kabel tenaga di Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UUE Holdings peroleh kontrak bernilai RM67.3 juta kerja pasang kabel tenaga di Singapura

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 NovUUE Holdings Berhad melalui anak syarikat miliknya beroperasi di Singapura, Konnection Engineering Pte Ltd, menerima kontrak bernilai S$20.9 juta (kira-kira RM67.33 juta).


Penyedia rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah itu berkata, tender diperoleh daripada Wee Guan Construction Pte Ltd bagi kerja-kerja subkontrak pemasangan kabel tenaga berkapasiti tinggi 230kV.


Kontrak berkenaan menurut syarikat tersebut, melibatkan pembekalan dan pemasangan kabel, kabel tambahan dan segala aksesori yang berkaitan bagi projek dirujuk sebagai NDC409 Route A1 serta A2.


"SP PowerAssets Limited bertindak sebagai principal, manakala LS Cable & System cawangan Singapura dilantik sebagai kontraktor utama tender itu," maklum UUE Holdings kepada Bursa Malaysia hari ini.


Skop kerja utama Konnection merangkumi penyediaan bahan, tenaga kerja, peralatan serta pelaksanaan pemasangan paip polietilena berketumpatan tinggi menggunakan kaedah penggerudian mendatar arah.


Tempoh kontrak ditetapkan dari 31 Oktober 2025 hingga 31 Disember 2027, dan ia menjelaskan tender ini dijangka memberi sumbangan positif terhadap pendapatan sesaham dan aset bersih kumpulan.


Selain itu jelas UUE Holdings, sepanjang tempoh pelaksanaan projek utiliti berkenaan, kos besar yang digunakan subsidiari tersebut tidak menjejaskan struktur modal atau pegangan saham syarikat.


"Lembaga Pengarah kumpulan kejuruteraan ini menyatakan yang penerimaan kontrak tersebut adalah selaras dengan operasi teras dan memenuhi kepentingan terbaik syarikat itu sendiri," katanya.


Pada masa sama, ia menegaskan tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan memiliki sebarang kepentingan langsung atau tidak dalam kontrak terbaharu berkenaan.


Dokumen kontrak tersebut jelas UUE Holdings, boleh diperiksa di pejabat berdaftar syarikat di Menara TJB, Johor Bahru, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pengumuman. - DagangNews.com