KUALA LUMPUR 8 Jan – Kesemua pemegang saham TFP Solutions Berhad bersetuju dengan cadangan pengambilalihan sebidang tanah pegangan pajakan bernilai RM5 juta di Daerah Petaling, Selangor.
Resolusi biasa berkenaan antara tiga usul yang dibentangkan serta turut menerima sokongan sebulat suara pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat tersebut di Wisma LMS, Kuala Lumpur semalam.
Tanah berstatus pertanian yang dizonkan semula bagi kegunaan komersial itu, di bawah Hakmilik H.S. (M) 31358, PT 81624, dengan pengambilalihan dilaksanakan melalui penerbitan 125 juta saham baharu.
"Ia akan dibuka kepada awam pada harga terbitan 4 sen sesaham, sekali gus melibatkan jumlah pertimbangan RM5 juta," kata TFP Solutions dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Berdasarkan perjanjian jual beli (SPA), transaksi pengambilalihan tanah berkenaan dimeterai pada 12 September 2025 antara syarikat itu dan vendor yang hanya dikenali menerusi singkatan nama ABJ.
Bagaimanapun, saham pertimbangan tersebut jelasnya, akan diterbitkan kepada vendor atau penama yang bakal dimaklumkan kemudian, tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu dalam SPA.
TFP Solutions berkata, pengambilalihan itu bertujuan menyokong langkah kumpulan untuk menceburi perniagaan pelaburan dan pengurusan hartanah, yang dapat menyediakan aliran pendapatan baharu.
"Tanah tersebut akan dimanfaatkan serta menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan, dengan tumpuan kepada perniagaan asrama pekerja asing secara berpusat (CLQ)," katanya.
Syarikat namun memaklumkan jika syarat ditetapkan gagal dipenuhi atau diketepikan, pengambilalihan itu berisiko ditangguhkan atau dibatalkan, sekali gus menjejaskan manfaat yang dijangkakan.
EGM yang diadakan itu turut meluluskan cadangan penempatan persendirian melibatkan penerbitan 194,294,700 juta saham baharu, mewakili kira-kira 30% daripada jumlah saham terbitan syarikat.
Selain itu, satu lagi resolusi yang disokong ialah cadangan kepelbagaian perniagaan TFP Solutions dan anak-anak syarikatnya bagi turut merangkumi aktiviti pelaburan serta pengurusan hartanah.
"Kesemua resolusi diluluskan melalui pengundian secara undi sulit dan keputusan disahkan oleh CSC Securities Services Sdn Bhd selaku pemerhati bebas dilantik," katanya. - DagangNews.com








