IPOH 8 Julai - Penyertaan usahawan negeri Perak pada Brunei Consumer Fair & Trade Expo 2025 mencatat kejayaan apabila merekodkan jualan tunai sebanyak RM560,000
Ekspo jualan yang berlangsung pada 25 hingga 29 Jun di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Brunei Darussalam itu melibatkan 18 usahawan pelbagai produk.
Daripada jumlah tersebut, 10 usahawan ditaja penuh oleh Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bagi penyertaan tapak pameran.
Perak juga menjadi satu-satunya negeri yang menyertai ekspo ini secara rasmi dengan jumlah penyertaan usahawan paling besar.


Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, ekspo tersebut dianggap berjaya apabila lebih 15,000 pengunjung datang ke ruang pameran negeri Perak.
Menurut beliau, ekspo jualan itu merekodkan kehadiran 100,000 pengunjung yang menghimpunkan lebih 600 pempamer dari pelbagai negara.
“Penyertaan usahawan Perak membuahkan jualan tunai sebanyak RM560,000 dan jualan kontrak serta potensi kontrak melebihi RM700,000.
“Antara kejayaan utama ialah CWP Food Manufacturing Sdn. Bhd. yang telah menandatangani kontrak pembekalan bernilai hampir RM150,000 bersama pengimport makanan Brunei, Ben Food (B) Sdn. Bhd.
“Beberapa syarikat lain turut berjaya menembusi pasaran Brunei seperti Mesra Herbs Sdn Bhd, Rendang Tok Yeop, Syilis dan Imperia Asia Sdn Bhd, yang kini sedang giat mengatur langkah eksport secara berterusan ke negara tersebut,” ujarnya.


Delegasi Perak diketuai Exco Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Usahawan, Dato’ Salbiah Mohamed, STeP dan Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Hazwani Anuar.
Jelas Mohamad Rozlan, selain penglibatan dalam pameran, delegasi negeri Perak turut mengadakan sesi kunjungan hormat dan lawatan rasmi ke pejabat kerajaan, premis pengimport dan pengedar produk tempatan.

“Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan di bawah Teras Program Perluasan Pasaran Produk, Perkhidmatan serta Eksport Usahawan PMKS Perak 2025 yang dirangka bagi menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030.
“Kerajaan Perak komited untuk terus memperluas peluang pasaran luar negara kepada usahawan tempatan dan akan terus memberikan sokongan padu kepada usahawan PMKS agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya. - DagangNews.com







