KUALA LUMPUR 6 Ogos — Langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) bekerjasama dengan pemaju tenaga boleh diperbaharui (RE) Australia, Spark Renewables diyakini ada kesan positif, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kerja-kerja 2,000MW sedia ada dan tambahan 1,600MW di negara itu akan meletakkan kumpulan tersebut berkembang dalam kedua-dua asas pendapatan dan portfolio RE.
Lawatan firma itu ke Spark Renewables di Sydney minggu lalu mendapati, sasaran peralihan RE secara agresif Australia sebanyak 82% menjelang 2030 daripada 38% pada masa ini akan turut menjana TNB.
Kumpulan utiliti itu memperoleh syarikat tersebut pada 2023 yang kini memiliki dan mengendalikan Ladang Solar Bomen 120MW dengan ada sebanyak tiga projek pembangunan utama dalam perancangan.
Ia meliputi Hab Tenaga Dinawan 1,000MW, Ladang Angin Mallee 400MW dan Hab Tenaga Wattle Creek 600MW yang kesemuanya di New South Wales sejajar rangka kerja pembangunan zon RE negeri tersebut.
“Selain itu, terdapat peluang yang melebihi 1.6GW untuk Spark Renewables di seluruh negeri berkenaan, Australia Selatan dan Queensland,” kata Kenanga dalam satu nota kajiannya semalam.
Pengambilalihan syarikat tersebut tambah firma berkenaan, ditanggung melalui pembiayaan hutang daripada bank-bank Australia dan langsung tidak memerlukan sebarang penyaluran modal dari Malaysia.
Sektor elektrik Australia berbeza daripada model bersepadu menegak Malaysia dengan Pasaran Elektrik Nasional (NEM) meliputi Queensland, New South Wales, Victoria, Australia Selatan, dan Ibu Negara.
"Setiap negeri memiliki pihak berkuasa kawal selianya sendiri, dan rantaian bekalan elektrik tidak disatukan, dengan entiti berbeza mengendalikan penjanaan, penghantaran, dan peruncitan," katanya.
Kenanga berpendapat, kebanyakan loji janakuasa arang batu dijadual untuk dinyahtauliah sebelum 2040 dan dijangka berakhir menjelang 2038, manakala penjanaan tenaga gas diramal meningkat sebelum 2050.
Sementara itu, kapasiti angin dan solar skala grid diunjurkan meningkat enam kali ganda daripada 21GW kepada 127GW, dengan kapasiti berkembang daripada 3GW kepada 49GW dalam tempoh yang sama.
Tambah firma berkenaan, untuk menyokong usaha peralihan tenaga, pelaburan besar disalurkan ke dalam infrastruktur baharu melalui Pelan Sistem Bersepadu oleh Pengendali Pasaran Tenaga Australia.
Ia kata Kenanga lagi, bakal menggariskan kira-kira 10,000 kilometer talian penghantaran baharu menjelang 2050, terutama menghubungkan penjanaan baharu yang boleh diperbaharui kepada grid bekalan.
Firma penyelidikan itu berkata terdapat lebih daripada 1.6GW peluang kapasiti baharu untuk Spark Renewables yang memiliki dan mengendalikan satu aset penjanaan menerusi Ladang Solar Bomen 120MW.
“Selain itu, Spark Renewables ada kontrak melebihi 1.6GW merentasi tiga negeri, meletakkan ia sebagai jentera pertumbuhan strategik portfolio RE antarabangsa TNB,” kata Kenanga. - DagangNews.com








