KUALA LUMPUR 7 Nov — MBSB Research menyifatkan usaha sama terkini IOI Corporation Berhad dengan sebuah syarikat besar dari China, Mega Star bakal memperkukuh kedudukannya dalam segmen kelapa.
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah berkenaan juga berpotensi memberi pulangan jangka panjang menerusi pembangunan kompleks pemprosesan kelapa bersepadu pertama kumpulan itu sendiri.
Jelasnya, dengan jumlah perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM100 juta, projek tersebut dijangka memperluas kehadiran kumpulan perladangan berkenaan dalam pasaran komoditi bernilai tambah tinggi.
"Justeru, kami masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas IOI Corporation dengan harga sasaran yang turut tidak berubah kepada RM4.42 sesaham," tambah MBSB Research dalam notanya hari ini.
Mengulas lanjut, ia berkata, kemudahan baharu yang akan dibina di Segamat, Johor itu dijangka siap pada suku keempat tahun kewangan 2027 dengan peringkat awal memproses 100,000 biji kelapa sehari.
Selain itu katanya, kompleks berkenaan dirancang dapat meningkatkan kapasiti sehingga 300,000 biji sehari seiring pelan perluasan ladang kelapa syarikat berkenaan kepada kira-kira 5,000 hektar.
Fasiliti ini jelas MBSB Research, akan menghasilkan minyak kelapa dan air kelapa pekat, melalui sistem automasi terkini, serta memanfaatkan sabut kelapa sebagai biofuel untuk penjanaan tenaga.
"Kami difahamkan pada fasa seterusnya, IOI Corporation merancang untuk menukar tempurung kelapa kepada karbon teraktif, sejajar dengan agenda ekonomi kitaran kumpulan itu," kata firma tersebut.
Usaha sama dengan Mega Star, yang mempunyai kaitan rapat dengan Ting Hsin Group, juga dijangka membawa kepakaran hiliran kukuh dalam pemprosesan dan pengedaran produk berasaskan kelapa.
MBSB Research menjangka, kerjasama ini bukan sahaja mengukuh keupayaan dalam penghasilan derivatif bernilai tambah, malah membuka akses strategik ke pasaran makanan dan minuman China serta Taiwan.
Ia menilai pelaburan IOI Corporation itu sebagai langkah positif, disokong oleh prospek pasaran menarik, kerana bekalan minyak kelapa global pada masa ini masih kekal ketat secara struktur.
"Komoditi ini dipengaruhi oleh perkembangan pokok tua di Filipina dan Indonesia yang menyumbang lebih 70% pengeluaran dunia, serta kadar penanaman semula yang perlahan," kata firma berkenaan.
Harga penanda aras minyak kelapa dunia kini sekitar AS$1,600 (RM6,677) satu tan metrik dengan premium 45% berbanding minyak isirung sawit (PKO), menyebabkan jurang bekalan dan permintaan.
Bagaimanapun kata MBSB Research, berbanding pesaing seperti United Plantations Berhad yang juga giat mengembangkan ladang kelapa seluas 4,627 hektar, rancangan IOI Corporation lebih menyeluruh.
Situasi ini kerana kumpulan itu meliputi rantaian nilai penuh, daripada penanaman hingga ke pemprosesan dan produk hiliran, yang dijangka meningkatkan margin keuntungan jangka panjang,
"Buat masa ini, unjuran pendapatan IOI Corporation dikekalkan, memandangkan usaha pengkomersialan kompleks kelapa ini dijangka bermula hanya pada 2029," katanya. - DagangNews.com








