Usaha sama Gas Malaysia-Tokyo Gas bangunkan bekalan tenaga bersama anak syarikat FGV | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha sama Gas Malaysia-Tokyo Gas bangunkan bekalan tenaga bersama anak syarikat FGV

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Gas Malaysia Berhad, menjalin usaha sama (JV) strategik bersama Tokyo Gas Engineering Solutions Corp, memeterai perjanjian bekalan tenaga (ESA) selama 15 tahun dengan anak syarikat FGV Holdings Berhad, FGV IFFCO Sdn Bhd (FISB), bagi membangunkan sistem tenaga kogenerasi di fasiliti pembuatan syarikat tersebut.


Syarikat JV tersebut, Gas Malaysia Energy Advance Sdn Bhd (GMEA), akan bertanggungjawab mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan sistem turbin gas kogenerasi berkapasiti 3.93 megawatt (MW) tenaga elektrik dan 30 tan sejam stim bertekanan rendah, khusus untuk memenuhi keperluan tenaga industri FISB.


Bagaimanapun nilai kontrak projek berkenaan tidak diumumkan, namun pembinaan loji dijangka bermula sejurus selepas termeterainya perjanjian, dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang pertengahan suku kedua 2027.


"GMEA kini mengendalikan tiga loji kogenerasi dengan kapasiti gabungan 41.7MW, masing-masing terletak di Shah Alam, Selangor dan dua lagi di Perai, Pulau Pinang," kata Gas Malaysia dalam kenyataan.


GMEA dimiliki 66% oleh Gas Malaysia dan baki 34% oleh Tokyo Gas.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia yang juga Pengerusi GMEA, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam menyediakan rumusan tenaga yang lebih cekap dan selari dengan aspirasi kelestarian pelanggan industri.


“Kami berbesar hati bekerjasama dengan FISB dalam usaha memperkasa agenda karbon rendah negara,” katanya dalam kenyataan.


Bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), Gas Malaysia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM99.12 juta, susut 9.9% tahun ke tahun (YoY) berbanding RM110.05 juta pada suku yang sama tahun lalu. 


Hasil turut menurun kepada RM1.8 bilion daripada RM1.98 bilion pada suku sebelumnya.


Penurunan ini didorong oleh harga jualan gas asli yang lebih rendah, selain margin sumbangan yang lebih kecil, serta perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan yang meningkat.


Sebahagian tekanan ini namun diimbangi oleh jumlah jualan gas yang lebih tinggi serta sumbangan lebih besar daripada syarikat JV.


Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), keuntungan bersih kumpulan menurun 6.3% YoY kepada RM199.26 juta (1HFY24: RM212.68 juta), manakala hasil susut 5.4% kepada RM3.65 bilion.


Gas Malaysia turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 6 sen sesaham, sedikit rendah berbanding 6.31 sen yang diisytiharkan pada suku sama tahun lalu, dengan tarikh pembayaran ditetapkan pada 31 Oktober 2025. - DagangNews.com