Usaha sama di Brazil pacu aliran tunai Vantris Energy, jadi pemangkin pemulihan kewangan – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha sama di Brazil pacu aliran tunai Vantris Energy, jadi pemangkin pemulihan kewangan – HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Okt – Projek usaha sama Vantris Energy Berhad di Brazil melalui entiti Seagems terus menjadi pemacu utama aliran tunai kumpulan itu, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).


Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan positif itu sekali gus berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan syarikat selepas kejayaan penstrukturan semula hutang dilakukan baru-baru ini. 


Menurutnya, segmen Brazil kini menjadi 'permata utama' Vantris dengan keupayaan menjana lebihan tunai yang signifikan bagi menyokong usaha pelunasan awal hutang dan pemulihan status kewangan.


"Dividen daripada Seagems naik ketara kepada AS$45 juta (RM189 juta) dalam tempoh Julai hingga Ogos 2025, berbanding AS$33 juta (RM139 juta) bagi keseluruhan 1HFY25," kata HLIB dalam notanya.


Enam kapal penyokong paip laut dalam milik Seagems beroperasi penuh di bawah kadar kontrak baharu Petrobras purata AS$285,000 (RM1.2 juta) sehari berbanding sebelumnya AS$212,000 (RM0.89 juta).


Kata firma itu, gabungan kadar sewa lebih tinggi, penggunaan mencecah 98% dan kos operasi yang kekal stabil dijangka menjana perolehan kasar melebihi AS$400 juta (RM1.68 bilion) setahun.


Situasi ini tambah HLIB, memberikan kumpulan itu keupayaan menebus awal hutang mampan RM2.6 bilion milik Sinar Brazil Sdn Bhd, yang dibentuk pemberi pinjaman sebagai jentera tujuan khas.


"Penstrukturan semula hutang Vantris secara rasmi berkuat kuasa 26 September 2025, menandakan era baharu bagi kumpulan ini dengan kesan ketara dapat dilihat pada kos kewangan sukuan," jelasnya.


Langkah tersebut kata HLIB, dijangka menurunkan hutang syarikat itu daripada RM200 juta kepada RM70 juta, berikutan pengurangan jumlah pinjaman daripada RM10.7 bilion kepada RM5.6 bilion.


Tambah firma berkenaan, suku ketiga FY26 bakal menjadi tempoh peralihan penting Vantris Energy kerana akan mencerminkan impak penuh penstrukturan serta penjimatan kos kewangan secara langsung.


Selain Brazil, segmen pengerudian kembali positif, dengan 9 daripada 11 pelantar kini beroperasi, manakala kapal Sapura Berani, T-18 dan T-17 sudah memulakan kontrak jangka panjang baharu.


"Segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) turut menunjukkan prestasi baik hasil sumbangan Seagems serta kejayaan ujian penerimaan kapal terakhir, Sapura Onix, pada awal Ogos 2025," kata HLIB.


Ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Vantris Energy dengan harga sasaran disemak kepada 80 sen daripada RM1.30 sebelum ini, mengambil kira penstrukturan dan penjimatan faedah kewangan.


Penilaian berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, turut mengambil kira aspek potensi pencairan saham syarikat dan diskaun 40% terhadap kesan pencairan saham. - DagangNews.com