Usaha sama Cape EMS, New Grand Tech dijangka jana RM27.68 juta sebulan menerusi empat barisan pengeluaran FFC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha sama Cape EMS, New Grand Tech dijangka jana RM27.68 juta sebulan menerusi empat barisan pengeluaran FFC

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 April - GrandCape (M) Sdn Bhd, sebuah usaha sama (JV) antara Cape EMS Bhd dan New Grand Tech (HK) Ltd, dijangka menjana hasil sebanyak AS$7 juta (RM27.68 juta) sebulan dengan empat barisan pengeluaran kabel rata fleksibel (FFC) sedia ada.

 

Pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan Cape EMS, Christina Tee Kim Chin berkata, kapasiti semasa itu telah memenuhi kira-kira 70% permintaan pasaran, dengan ruang untuk pengembangan selanjutnya sekiranya diperlukan.

 

“Model pembuatan ini bersifat boleh diskalakan. Jika permintaan meningkat, kami boleh menambah barisan pengeluaran dengan pantas bagi memenuhi keperluan pasaran,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama tersebut.

 

GrandCape, yang ditubuhkan bersama New Grand Tech berperanan sebagai platform pembuatan dan kejuruteraan khusus bagi FFC, elektronik maju, pusat data kecerdasan buatan (AI) serta penyelesaian sambungan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).

 

Menurut Cape EMS, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi transformasi CEB 2.0 yang bertujuan mengalih kedudukan syarikat daripada penyedia pemasangan tradisional kepada penyepadu sistem berasaskan kejuruteraan.

 

“GrandCape menyokong keperluan sambungan berprestasi tinggi untuk infrastruktur digital moden, termasuk kluster unit pemprosesan grafik (GPU) bagi pelaksanaan AI berskala besar dan latihan model AI generatif,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, syarikat turut memperluas keupayaan dalam segmen peralihan tenaga global dengan membangunkan sistem sambungan berketahanan tinggi untuk modul bateri dan pelaksanaan BESS berskala besar, termasuk sokongan kepada ekosistem kenderaan elektrik (EV) dan mobiliti pintar.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Christina berkata syarikat kini memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur pengecas EV di Malaysia bagi menyokong pertumbuhan penggunaan kenderaan elektrik.

 

Katanya, Cape EMS menyasarkan untuk memasang sekurang-kurangnya 500 pengecas EV tahun ini melalui kerjasama dengan rakan strategik seperti EV Connect.

 

“Kami juga sedang memperkenalkan pengecas arus terus mudah alih yang dijangka memasuki pasaran tidak lama lagi,” katanya.

 

Cape EMS merupakan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik dan penyelesaian kejuruteraan yang berpangkalan di Johor, dengan operasi global merangkumi Amerika Syarikat, China, Singapura dan Filipina.

 

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan termasuk pemasangan sistem kompleks, kejuruteraan ketepatan dan teknologi pemasangan permukaan, dengan pelanggan merangkumi sektor penyimpanan tenaga bateri, Internet Benda (IoT) serta pembuatan elektronik. - DagangNews.com