Usaha penjimatan kos bantu imbangi penyusutan hasil Kitacon pada 9M25, menurut CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha penjimatan kos bantu imbangi penyusutan hasil Kitacon pada 9M25, menurut CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Nov - Kumpulan Kitacon Berhad memanfaatkan usaha penjimatan kos secara berdisiplin bagi tempoh 9M25, yang mengimbangi penyusutan hasilnya, menurut CGS International


Langkah berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, seterusnya berjaya pula melonjakkan margin keuntungan kasar kepada kira-kira 15%, naik sebanyak 2.6 mata peratusan tahun ke tahun (YoY).


Faktor kecekapan kos ini juga jelasnya, menjadi pemangkin utama prestasi, meskipun nilai kerja pembinaan adalah lebih rendah berikutan beberapa projek yang berada di peringkat awal atau hampir siap.


"Situasi itu membolehkan Kitacon pada 3Q25 merekodkan keuntungan bersih teras RM12.3 juta, naik 6% suku ke suku (QoQ), menjadikan jumlah 9M25 kepada RM38 juta (+3.3% YOY)," kata CGSI dalam notanya.


Peningkatan ini tambahnya, sejajar jangkaan pada 67% daripada sasaran tahun penuh, walaupun hasil merosot kepada RM623.7 juta, dan membuktikan keberkesanan dasar penjimatan kos syarikat berkenaan.


Firma tersebut juga menjangkakan kedudukan pada 4Q25 yang terus kukuh apabila banyak kerja mencapai fasa kemajuan lebih tinggi, selain pendedahannya kepada pelbagai projek industri dan kediaman.


Kitacon turut mengisytiharkan dividen interim kedua 1 sen, membawa jumlah kepada 2 sen, manakala baki tunai terus kukuh dengan peningkatan kepada RM223.8 juta atau tunai bersih 45 sen sesaham.


"Setakat ini, ia mencatat nilai kontrak baharu RM1.06 bilion, melepasi sasaran RM1 bilion bagi FY25 dan buku tempahan naik kepada RM1.6 bilion, tertinggi sejak penyenaraian pada FY23," jelas CGSI.


Antaranya daripada projek kilang RM60.8 juta di Elmina Business Park dan projek kediaman SP Setia, serta pembangunan berterusan di Bandar Bukit Raja dijangka menjadi sumber peluang kontrak baharu.


Berdasarkan perkembangan positif itu, firma tersebut terus mengekalkan saranan 'tambah' dan harga sasaran tidak berubah RM1.43 sesaham, berdasarkan unjuran pertumbuhan jangka panjang sebanyak 2.5%.


Di samping itu tambah CGSI, saham semasa Kitacon dilihat sebagai dinilai terlalu rendah meskipun kumpulan memiliki operasi cekap, penyata kewangan bersih dan pulangan ekuiti (ROE) kukuh 15.8%.


"Kami melihat pemangkin daripada permintaan secara berterusan sektor hartanah serta trend pemaju besar yang kelazimannya menyerahkan pelbagai kerja pembinaan kepada kontraktor luar," katanya.


Bagaimanapun risiko kelewatan penganugerahan projek baharu dan peningkatan kos bahan mentah boleh menjejaskan syarikat itu namun ia kekal berada pada landasan pertumbuhan kukuh. - DagangNews.com