Usaha pengurusan baharu bantu pemulihan MClean Technologies mula jana hasil - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha pengurusan baharu bantu pemulihan MClean Technologies mula jana hasil - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Sept – Usaha agresif pengurusan baharu MClean Technologies Berhad dalam penstrukturan semula operasi dan pengoptimuman kos kini mula membuahkan hasil, kata RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat itu dijangka mencatat pemulihan kukuh ketika trend lonjakan permintaan berkaitan produk kecerdasan buatan (AI) dan pertumbuhan pesat pusat data (DC).


Ia meletakkan nilai wajar saham MClean kepada 73 sen, berdasarkan 15 kali unjuran pendapatan FY26, mencerminkan prospek besar kerana saham itu diniagakan 33 kali di bawah penilaian purata sektor.


“Dengan hala tuju baharu yang cekap dari segi operasi dan margin, serta permintaan kukuh segmen semikonduktor, MClean berpotensi menjadi proksi rantaian bekalan DC utama,” jelas RHB Research.


Kumpulan itu katanya, memiliki hubungan jangka panjang selama 25 tahun dengan Seagate Technology, pemain utama dalam industri pemasangan komponen cakera keras (HDD) di peringkat antarabangsa.


Sementara segmen pembersihan komponen HDD dan pembungkusan kitar semula kata firma penyelidikan tersebut dalam notanya, berjaya menyumbang sebanyak 70% kepada pendapatan kumpulan pada FY25.


MClean berada pada posisi strategik meraih manfaat permintaan global ke atas HDD yang dijangka meningkat 6.3% antara 2025 hingga 2032, dipacu oleh keperluan penyimpanan AI, perusahaan dan awan. 


"Sebagai sebahagian usaha penstrukturan semula, pengurusan baharu mengurangkan 40% tenaga kerja di kilang Singapura dan merancang memindahkan dua barisan pembersihan tidak digunakan," katanya.


RHB Research menambah, Malaysia dan Thailand dipilih kerana menawarkan kos lebih kompetitif dengan kapasiti ditambah lebih dua kali ganda, serta satu proses pengeringan baharu akan diperkenalkan.


Langkah itu katanya, menambah nilai perkhidmatan pembersihan dan meningkatkan margin keuntungan, dengan 30% produk pembersihan komponen di Thailand dihantar semula kepada pelanggan di Singapura.


Dalam pada itu, anak syarikat rawatan permukaan milik MClean, DWZ Industries mendapat kelulusan dua pelanggan utama HDD dan dijangka meningkatkan penggunaan kapasiti menjelang suku keempat FY25.


"Tambahan pula, pemegang saham DWZ sendiri iaitu Dufu Technology Corp yang menguasai 25% ekuiti, membuka potensi kolaborasi secara bersilang dalam ekosistem HDD tersebut," kata RHB Research.


MClean juga mengambil alih We Total Engineering, perniagaan suntikan plastik yang dijangka menjana hasil pada FY26, selepas proses pemindahan dan pengubahsuaian siap, serta disokong peluang jualan.


Dengan prospek pertumbuhan yang kukuh dan pelaksanaan strategi lebih berfokuskan margin, MClean kata firma itu, kini mula tampil sebagai satu proksi tidak ketara dalam gelombang AI dan DC di Malaysia.


Beberapa risiko namun perlu diberi perhatian antaranya peningkatan kos operasi, kebergantungan kepada pelanggan utama, ketidaktentuan kadar tukaran asing dan kelembapan permintaan. - DagangNews.com