Latihan pembangunan kemahiran semakin jadi keperluan pasaran global semasa
SEKIRANYA Malaysia tidak dilantik sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, ada kemungkinan besar Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) tidak berlangsung tahun ini kerana ia bukan mudah dianjurkan.
Bagaimanapun ia berubah apabila kepengerusian blok serantau itu kembali ke Malaysia selepas kali terakhir pada 2015, dan AYOS buat julung kali diperkenalkan selaku antara agenda rasmi negara ini.
Inisiatif itu meskipun lewat dilancarkan pada 14 April 2025, banyak aktiviti diadakan diterajui Human Resorce Development Corporation (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Ia bermula dengan program utama Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 dari 14 hingga 21 Jun 2025 yang menawarkan lebih 70,000 kursus secara percuma dengan penyertaan 3.5 juta pelatih
Kemuncaknya ialah Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 pada 22 Oktober 2025 yang kali pertama telah dianjurkan di luar ibu pejabat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland.
Program menghimpunkan lebih 1,000 perwakilan dari 39 negara itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.
Hakikatnya, kesemua program tersebut bukan sekadar acara, namun sebenarnya merupakah usaha HRD Corp yang komited menjadikan aspek kemahiran sebagai pelaburan masa depan negara kita.

Bayangkan, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sendiri, setakat suku pertama 2025, hanya sekitar 7.7 juta rakyat negara ini yang ada kemahiran termasuk 2.2 juta pekerja mahir.
Angkanya mungkin kelihatan tidak besar, kerana jika dilihat definisi standard ILO yang amat luas, pekerja berkemahiran dianggap sebagai memiliki latihan, pendidikan dan pengalaman tertentu.
Kemahiran terendah ialah tahap 1 dengan cuma tahu tugasan rutin, manual atau fizikal seperti buruh am, manakala tahap 2 pula separa mahir, misalnya juruteknik asas, kerani atau pemandu.
Sementara pekerja mahir berada di tahap 3 yang ada latihan teknikal dan pengalaman ketara, sementara tahap 4 adalah sangat mahir dengan memiliki pengetahuan mendalam amat tinggi.
Dalam konteks Malaysia, mengikut definisi DOSM, pekerja separa mahir yang ada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1 hingga 3 sudah pun dianggap berkemahiran termasuk di peringkat ASEAN.
Persoalannya, jumlah itu belum ramai di Malaysia tetapi mujur isu ini kemudian diangkat HRD Corp sebagai agenda nasional menerusi penganjuran NTW yang sudah mula diperkenalkan sejak 2023.
Langkah agensi berkenaan meskipun kecil, namun impaknya besar sehingga dijadikan antara program AYOS 2025 dengan kejayaannya diinspirasikan daripada European Year of Skills.

Bermula dari tahun itu, blok ini memperkenalkan Rangka Kerja Kelayakan ASEAN (AQRF) pada 2014 yang dianggap seumpama dasar kemahiran untuk dijadikan rujukan dalam kalangan anggota ASEAN.
ILO sendiri memberi tumpuan isu kemahiran sejagat dan menurut laporan rasmi badan itu pada 2019, Work for a Brighter Future: Report of the Global Commission on the Future of Work’, pekerja masa depan memang perlu berkemahiran tinggi selaras perubahan semasa.
Nota organisasi itu pada 2023 bertajuk ‘Skills for Greener Future’ juga menggariskan yang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan automasi boleh mengubah cara kerja manusia akan datang.
Ia memberi amaran yang jika tiada peningkatan kemahiran, ramai pekerja berisiko besar kehilangan pekerjaan kerana mesin dan algoritma berupaya menggantikan kerja rutin tanpa sebarang masalah.
Selain itu, dunia bergerak ke arah teknologi hijau dengan sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa, dan pengangkutan rendah karbon akan mencipta jutaan peluang kerja baharu.
Peningkatan populasi di benua Asia dan Afrika jelas ILO, juga menunjukkan permintaan tenaga kerja akan naik tetapi banyak peluang pekerjaan baharu akan wujud dalan sektor digital dan tidak formal.
Justeru, sudah tiba masa kemahiran yang boleh berpindah merentasi sektor dan sempadan wajar direbut golongan pekerja muda kerana mereka paling mudah menerima perubahan sekeliling.

Usaha HRD Corp yang sudah dapat ‘membaca’ senario pekerjaan pada masa depan wajar dipuji kerana ia turut disusuli dengan penganjuran banyak siri kursus atau program secara berterusan.
Ia sejajar dengan unjuran ILO yang melihat kemahiran sebagai aset ekonomi dan sosial masa depan kerana tanpa kemahiran baharu, pekerja dan negara akan ketinggalan dalam inovasi teknologi.
Individu terbabit juga sukar bersaing dalam pasaran global, serta tidak mampu menyesuaikan diri dengan peralihan hijau dan digital berbanding pekerja berkemahiran tinggi yang banyak kelebihan.
Kelompok mahir itu bukan sahaja memacu produktiviti nasional, malah dinilai berupaya menarik banyak pelaburan berkualiti tinggi, dan menjamin masa depan pekerjaan yang adil serta inklusif.
Keadaan transformasi ini juga diakui sendiri oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menekankan bahawa menjelang 2027, lebih 44% daripada kemahiran semasa pekerja sekarang akan berubah.
Sebaliknya, ia menegaskan bentuk kemahiran paling bernilai selepas ini ialah pekerjaan yang jenis sukar digantikan oleh automasi, iaitu pemikiran secara analitikal, kreativiti, dan empati manusia.
Malaysia bagaimanapun sudah menyedari mengenai isu ini dengan menyelaraskan dasar kemahiran masa depan antaranya menerusi Pelan Induk MYFutureJobs dan pelbagai inisiatif HRD Corp mulai tahun ini.

Rancangan berkenaan menekankan upskilling dan reskilling untuk kira-kira sejuta pekerja, selain dasar tenaga boleh diperbaharui negara sejak 2023 membuka ribuan pekerjaan hijau kemahiran teknikal.
Pada masa yang sama, kerajaan turut melaksanakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang memerlukan tamai tenaga kerja mahir dalam bidang digital dan analisis data.
Secara kesimpulan, pekerja Malaysia masa hadapan sudah perlu bersedia daripada sekarang dengan menggabungkan pelbagai kemahiran teknikal, digital, sosial dan hijau agar tidak lagi ketinggalan.
Dalam hal ini, Malaysia bernasib baik kerana HRD Corp sudah lama menggerakkan banyak aktiviti bagi melahirkan pekerja berkemahiran yang dapat memenuhi tuntutan kompleks pasaran semasa.
Apa yang perlu ada hanyalah kesungguhan daripada pekerja sendiri untuk merebut pelbagai peluang disediakan kerajaan untuk membaiki diri supaya terus maju membina masa depan lebih baik.
Masyarakat juga seharusnya membuka mata dengan menghargai latihan pembangunan kemahiran belia yang disediakan kerana tanpa ilmu, mereka akan lebih jauh ketinggalan. - DagangNews.com








