Usaha gencatan senjata Thailand-Kemboja dilakukan Malaysia bukan soal parti, politik individu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha gencatan senjata Thailand-Kemboja dilakukan Malaysia bukan soal parti, politik individu

ANWAR Ibrahim (tengah) bersama-sama Hun Manet (kiri), dan Phumtham Wechayachai (kanan) di Putrajaya kelmarin. - Foto ihsan Muhammad Kamil Abdul Munim
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Julai — Proses rundingan gencatan senjata yang dilaksanakan oleh Malaysia melibatkan isu ketegangan antara Kemboja dan Thailand tiada kaitan dengan masalah parti atau politik tertentu.

 

Ia disuarakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang kecewa dengan hantaran Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memperlekehkan usaha dimainkan kerajaan.

 

Dunia sendiri katanya, menyambut baik usaha itu dari Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, sehingga kepada komuniti Asia Tenggara tetapi pembangkang negara ini pula memilih menjadi sinis dan pesimis.

 

 

 

 

 

 

"Saya ingin tegaskan bahawa usaha ini bukan soal parti atau politik individu. Ini soal maruah negara. Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin disegani di rantau ini," katanya dalam hantaran akaun X.

 

Kelmarin, Ahmad Fadhli menyindir proses rundingan gencatan senjata dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya susulan konflik antara dua negara itu sejak 24 Julai 2025.

 

Beliau menyamakan Anwar seperti monyet manakala Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai masing-masing kambing dan biri-biri berebut pisang.

 

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menyifatkan bekas Ketua Pemuda Pas itu sebagai lebih rela melihat kegagalan daripada mengiktiraf kejayaan yang membanggakan negara apabila mempertikai usaha Anwar.
 

Fadhli
LAKARAN imej haiwan dalam hantaran yang digunakan Ahmad Fadhli Shaari sebagai merujuk imej tiga pemimpin dalam proses gencatan senjata di Putrajaya kelmarin.


"Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan bebal individu yang tiada secebis rasa hormat kepada negara lain, apatah lagi negara jiran kita," kata Ketua Angkatan Muda Keadilan itu.

 

Justeru beliau mengingatkan pembangkang yang lupa semasa mereka pernah berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik sebesar itu berjaya digerakkan untuk dicapai sehingga membanggakan negara.

 

Sebaliknya, apabila Malaysia di bawah Kerajaan MADANI melakar diplomasi di persada antarabangsa dan memain peranan aktif menyelesaikan pertelagahan, pembangkang menyemai kebencian dan dendam.

 

"Inilah politik sempit yang kita tolak, usah benarkan suara sumbang terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara. Tindakan mereka itu tidak patriotik dan memalukan negara," kata Muhammad Kamil.

 

Tambahnya, tuntutan Islam itu yang dipegang Ahmad Fadhli sendiri sepatutnya meraikan pendamaian, tetapi disanggah dengan kebencian politik serta jauh menyimpang dari ajaran dan ajaran agama.

 

 

 

 

 

Beliau menegaskan, Malaysia akan terus melangkah menjulang nama dengan diplomasi, tanpa retorik kosong serta percaya penyelesaian yang berasaskan kemanusiaan, bukan kebencian.


Selain itu, Muhammad Kamil menyeru pemimpin Pas tersebut segera memohon maaf secara terbuka kepada Kemboja dan Thailand kerana menyamakan pemimpin mereka dengan imej haiwan. - DagangNews.com