UPSI agih 3,500 naskhah al-Quran, santuni komuniti sepanjang Ramadan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPSI agih 3,500 naskhah al-Quran, santuni komuniti sepanjang Ramadan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mac — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah kendalian Pusat Islam sekali lagi meneruskan komitmen menerusi aktiviti kemasyarakatan melalui program pengagihan al-Quran dan menyantuni komuniti sepanjang Ramadan.
 

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sebanyak 3,500 naskhah al-Quran Mufiq terbitan Nasyrul Quran akan dibekalkan terus kepada mahasiswa dan kakitangan universiti berkenaan yang beragama Islam pada bulan berkenaan.
 

Usaha itu merupakan komitmen berterusan UPSI dalam mendekati masyarakat dan memastikan golongan yang memerlukan untuk tidak dipinggirkan, terutamanya dalam bulan yang dianggap sebagai penuh keberkatan serta kasih sayang.
 

"Inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat persaudaraan dalam kalangan warga UPSI, malahan memberi peluang kepada kita untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan.
 

Menurut beliau, langkah ini mampu memudahkan pemahaman Al-Quran sebagai panduan hidup dan menggalakkan warga UPSI untuk penting mengambil kesempatan dalam memperkukuhkan hubungan dengan kitab suci tersebut.
 

Al-Quran katanya, adalah pedoman utama dalam kehidupan dan dengan ada program Tadabbur Al-Quran Mufiq, mahasiswa dan kakitangan diharapkan mengambil manfaat daripada setiap ayat dibaca dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
 

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang berusaha menjayakan inisiatif ini. Semoga terus subur dan memberi manfaat kepada ramai pihak bukan sahaja di UPSI tetapi kepada masyarakat luar yang memerlukan," kata Md Amin.
 

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa Perdana Peringkat UPSI 2025 di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, Tanjung Malim, Perak.
 

UPSI juga katanya, berusaha mengekalkan tradisi acara berkenaan selain Rewang Bubur Lambuk untuk setiap jabatan, Program Singgah Sahur bersama petugas barisan hadapan serta agihan bantuan kepada mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan.
 

"Inilah nilai yang sentiasa diterapkan UPSI bagi memupuk bakal pendidik lebih memahami erti kasih dan kepedulian terhadap masyarakat kerana melalui program ini, mahasiswa bukan sahaja mendapat pendedahan akademik, bahkan diterap nilai murni dan tanggungjawab sosial yang tinggi," katanya.
 

Dalam majlis yang sama, Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat UPSI turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan berupa duit raya kepada 50 orang anak-anak dari Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah. 
 

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman berkata, pengedaran Al-Quran ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pemahaman dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan warga universiti.

 

"Melalui program Ihya’ Ramadan yang dilaksanakan sepanjang bulan ini, ia bukan sekadar memberi peluang kepada meraka untuk memiliki Al-Quran, tetapi juga membantu memahami serta mentadabbur ayat-ayat suci dengan lebih dalam," katanya. 
 

Langkah berkenaan sejajar dengan aspirasi UPSI dalam membentuk modal insan yang seimbang dari segi akademik dan kerohanian. - DagangNews.com