UPS buka pusat baharu di Pulau Pinang, perkukuh rangkaian penghantaran pelanggan global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPS buka pusat baharu di Pulau Pinang, perkukuh rangkaian penghantaran pelanggan global

Foto ihsan laman web rasmi UPS
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Okt – Gergasi logistik global, United Parcel Service (UPS), mengukuhkan komitmen terhadap wilayah utara Semenanjung dengan pembukaan pusat bungkusan baharu di Pulau Pinang.


Fasiliti yang seluas 1,860 meter persegi di Penang Science Park, Seberang Perai Selatan itu, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan penghantaran pelanggan industri teknologi tinggi dan pembuatan.


Langkah ini turut disusuli dengan perluasan hab UPS yang sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, serta membolehkan pemprosesan barangan keluar masuk dilakukan dengan lebih pantas.


"Kemudahan ini dijangka memberi manfaat besar kepada perniagaan di Butterworth, Batu Kawan, Bayan Lepas dan Perai, Pulau Pinang serta Kulim, Kedah," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.


Susulan itu jelasnya, tempoh waktu kutipan bagi penghantaran Express dan Worldwide Express Freight dilanjutkan sehingga dua jam, manakala penghantaran ke beberapa kawasan industri utama dibuat awal.


Menurut Pengarah Urusan Kanan UPS Malaysia, Ingrid Sidiadinoto, keadaan tersebut, memberi kelebihan dari segi fleksibiliti masa tambahan kepada perniagaan untuk pemprosesan pesanan harian mereka.


“Apabila pelanggan bercakap dengan kami, mereka mahukan lebih masa dalam sehari. Pelanjutan waktu kutipan ini secara praktikalnya memberi mereka ruang itu,” katanya pada majlis perasmian pusat tersebut.


Tambah beliau, perubahan landskap perdagangan global mendorong UPS membina rantaian bekalan lebih baik dan Malaysia, khususnya Pulau Pinang berada di kedudukan strategik memanfaatkan peralihan ini.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, menyambut baik pelaburan ini yang dilihat tepat pada masanya.


“Pusat bungkusan baharu dan hab lapangan terbang yang dipertingkatkan ini memperkenalkan proses automasi pintar yang memperkukuh daya saing syarikat Malaysia, terutama sektor kritikal," katanya. 


Ini jelas beliau, termasuk semikonduktor dan elektronik ketika perniagaan menyesuaikan diri dengan realiti baharu ekonomi global, manakala langkah UPS mencerminkan keyakinan berterusan potensi itu.


Usaha syarikat antarabangsa berkenaan juga tambahnya, selaras dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia sendiri dan menyokong aspirasi negara ini untuk menjadi hab logistik serantau yang bernilai tinggi.


Pelaburan UPS itu juga merupakan kesinambungan daripada rangkaian pengembangan operasi di Malaysia selepas melancarkan pusat perkhidmatan penghantaran baharu di Senai, Johor pada 28 Mei 2025.


Ia turut membolehkan penghantaran pantas ke rantau Asia Pasifik dilakukan dalam masa satu hari bekerja, serta ke Eropah dan Amerika Syarikat dalam hanya dua hari bekerja. - DagangNews.com