UOA REIT cadang ambil alih 3 hartanah komersial bernilai RM200 juta di Glenmarie | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOA REIT cadang ambil alih 3 hartanah komersial bernilai RM200 juta di Glenmarie

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 DisUOA Real Estate Investment Trust (REIT) mengemukakan dua cadangan termasuk pemerolehan hartanah baharu dengan nilai pertimbangan sebanyak RM200 juta di Glenmarie, Selangor.


RHB Trustees Berhad bagi pihak UOA REIT jelas kumpulan tersebut, akan membeli tiga aset komersial di kawasan yang lebih dikenali sebagai UOA Business Park (UBP) itu daripada Everise Project Sdn Bhd. 


Pembelian berkenaan tambahnya, akan dibiayai melalui sebanyak RM110.5 juta tunai hasil pinjaman bank serta 107.83 juta unit saham baharu UOA REIT pada harga terbitan 83 sen seunit bernilai RM89.5 juta.


"Hartanah itu terdiri daripada Tower 2A dan Tower 2B serta bangunan tempat letak kereta setinggi enam tingkat yang menyediakan sejumlah 3,101 petak parkir," maklum UOA REIT kepada Bursa Malaysia.


Jelas kumpulan REIT tersebut, penilaian rasmi menganggarkan nilai keseluruhan hartanah berkenaan ialah RM200 juta, dengan kadar penghunian semasa yang mencecah sehingga 100% bagi dua komponen.


UOA REIT berkata, aset baharu ini akan memperkukuh portfolio di Lembah Klang, meningkatkan nilai keseluruhan REIT daripada RM1.7 bilion ke RM1.9 bilion serta menyumbang pendapatan sewa stabil.


Selain itu, ia menyatakan dengan kadar penghunian purata kira-kira 91.5% bagi Tower 2A dan 2B sejak tiga tahun lalu, pemerolehan tersebut dijangka meningkatkan lagi pendapatan boleh agih. 


"Ia turut menurunkan purata usia bangunan dalam portfolio daripada 21 tahun kepada 19 tahun, dan gear dijangka naik sedikit daripada 40.8% kepada 42.3%, namun kekal pada paras sihat," jelasnya.


Pada masa sama, UOA REOT mencadangkan penubuhan Pelan Pelaburan Semula Agihan Pendapatan (IDRP) bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada pemegang unit saham amanah pelaburan kumpulan.


Melalui usaha berkenaan, pemegang unit boleh memilih sama ada untuk menerima agihan pendapatan sepenuhnya dalam bentuk tunai, atau melabur semula sebahagian atau keseluruhan agihan tersebut.


Pelaburan berkenaan tambahnya, boleh dilaksanakan dalam bentuk unit baharu pada harga diskaun sehingga 10% daripada harga purata berwajaran volum (VWAP) mengambil kira unit yang didagangkan.


"Dana tunai yang dijana daripada pelan ini akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan pengurusan aset, sekali gus meningkatkan kecairan dan fleksibiliti kewangan UOA REIT," katanya.


Beberapa pemegang unit utama yang berkaitan dengan Kumpulan UOA, serta Pengarah Pengurus, akan berkecuali daripada mengundi, kerana disenaraikan sebagai pihak berkepentingan dalam cadangan itu.


Lembaga pengarah bersama jawatankuasa audit kumpulan tersebut jelasnya, menegaskan bahawa cadangan dikemukakan itu adalah adil, munasabah, dan selaras kepentingan semua pemegang unitnya.


Sehubungan itu, ia mengesyorkan agar pemegang unit mengundi untuk menyokong resolusi yang dibentangkan dalam Mesyuarat Pemegang Unit akan datang. - DagangNews.com