KUALA LUMPUR 28 April — Perancangan agresif YTL Power International Berhad meningkatkan kapasiti pusat data (DC) kepada 1,000 megawatt (MW) menjelang 2028 dilihat sebagai pemangkin utama hasil.
Justeru, Kenanga Research berkata, segmen DC dijangka muncul sebagai sumber pendapatan baharu dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) diunjur RM327 juta menjelang tahun kewangan 2028 (FY28).
Menurut firma penyelidikan tersebut, pertumbuhan positif itu dilihat memang ketara berbanding anggaran hanya sebanyak RM120 juta bagi tahun kewangan 2026 (FY26) diramalkan sebelum ini.
"Setakat akhir Februari 2026, YTL Power sudah mengoperasikan kapasiti DC sebanyak 110MW, dengan keseluruhan 278 MW dijangka dapat beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2027," katanya dalam nota.
Peningkatan sasaran kepada 1,000MW itu jelas Kenanga, mencerminkan keyakinan kumpulan terhadap permintaan kukuh DC, khususnya didorong pertumbuhan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Pada masa sama, segmen utiliti luar negara turut menunjukkan pemulihan positif apabila anak syarikatnya di Britain, Wessex Water, sudah menerima kelulusan kenaikan tarif sebanyak 1.7%.

Ini menjadikan kadar pertumbuhan tarif nominal kepada 5.7%, lebih tinggi daripada cadangan awal 4%, dan memperkukuh prospek hasil selepas mencatatkan kerugian sebelum cukai pada FY23 dan FY24.
"Langkah pelarasan inflasi secara ketara pada FY25 sudah membantu meletakkan semula Wessex Water sebagai penyumbang pendapatan yang lebih stabil kepada kumpulan berkenaan," jelas Kenanga lagi.
Sementara itu, prestasi anak syarikat YTL Power di Singapura, Power Seraya Ltd, dijangka berdepan cabaran dalam tempoh terdekat apabila kontrak gas kos rendah 40% sudah tamat pada Disember 2025.
Keputusan kewangan bagi tempoh suku ketiga FY26 akan menjadi ujian penting, memandangkan syarikat tersebut ketika ini beralih secara berperingkat kepada harga pasaran bagi bekalan gas berkenaan.
Dalam pada itu tambah Kenanga, baki kontrak gas kos rendah dijadualkan tamat secara berperingkat, masing-masing 20% pada akhir 2027, 20% menjelang Ogos 2028 dan selebihnya pula sekitar 2029.
"Secara keseluruhan, kami berpandangan YTL Power berada pada landasan pertumbuhan jangka panjang, disokong gabungan aset utiliti terkawal dan pertumbuhan tinggi DC," katanya. - DagangNews.com








