Untung Sunway Construction diramal RM85 juta pada 2QFY25 disokong projek pusat data - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Sunway Construction diramal RM85 juta pada 2QFY25 disokong projek pusat data - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Ogos — Sunway Construction Group Berhad diramal mampu mencatatkan keuntungan teras yang mencecah sebanyak RM85 juta pada suku kedua 2025 (2QFY25), menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran berkenaan disokong oleh gabungan daripada pelbagai kemajuan projek dilaksanakan untuk kerja-kerja dalamannya serta beberapa projek pusat data (DC).

 

Tambahnya, kumpulan itu dijangka dapat memperoleh keuntungan sekurang-kurangnya RM70 juta pada suku tersebut berikutan pertumbuhan sebanyak 88 peratus sehingga 129 peratus tahun ke tahun (YoY).

 

"Pemerhatian kami mendapati antaranya projek Sunway City Ipoh Mall (SCIM) di Perak dan pembinaan sebuah DC di Cyberjaya, Selangor bergerak lancar," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.

 

Kedua-duanya kontrak berkenaan katanya, telah mencapai kemajuan yang membanggakan pada Jun dan Julai 2025 dengan SCIM dijadualkan mampu siap sepenuhnya menjelang tempoh suku pertama 2027.

 

Sementara itu tambah firma tersebut, kontrak DC yang sebenarnya merupakan permohonan perkhidmatan projek (PSR) daripada sebuah syarikat multinasional (MNC) telah 35 peratus siap pada Jun 2025.

 

Kata RHB Research, syarikat induknya, Sunway Berhad pada masa sama memiliki prospek kukuh melalui projek pembangunan berorientasikan pengangkutan (TOD) iaitu Seremban Sentral di Negeri Sembilan.

 

"Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion, Sunway Construction berpeluang meraih manfaat tidak langsung kerja-kerja pembinaan yang berpotensi mencecah nilai RM880 juta," katanya.

 

Selain itu, firma berkenaan tidak menolak kemungkinan syarikat ini menjadi peserta utama projek memandangkan penglibatannya dalam projek TOD untuk Sistem Transit Rapid di Bukit Chagar, Johor.

 

Berdasarkan kepada perkembangan cukup positif ketika ini, RHB Research masih mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM6.55 sesaham. - DagangNews.com