KUALA LUMPUR 13 Nov – CIMB Securities menjangkakan Southern Score Builders Berhad mencatat lonjakan ketara dalam keuntungan teras dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 59%.
Menurut firma penyelidikan tersebut, pertumbuhan kukuh berkenaan mampu diraih dari tahun kewangan 2025 (FY25) hingga 2027 (FY27) disokong kedudukan tunai bersih dianggarkan RM26 juta pada FY25.
Di samping itu jelasnya, pulangan atas ekuiti (ROE) tinggi sekitar 40 peratus bagi FY26 dan FY27, serta pegangan institusi saham berada pada paras tertinggi 15 peratus setakat akhir Oktober 2025.
"Perkembangan positif ini sendiri menunjukkan terdapat trend peningkatan keyakinan daripada para pelabur institusi terhadap prospek syarikat berkenaan,” kata CIMB Securities dalam satu nota kajiannya hari ini.
Ia turut menekankan keupayaan kukuh Southern Score dalam segmen kerja-kerja pusat data (DC), khususnya skop mekanikal dan elektrikal (M&E) dalaman untuk empat pelanggan berskala utama.
Jelas firma berkenaan, setakat 30 Jun 2025, buku tempahan untuk pelbagai kontrak M&E diperoleh syarikat tersebut sudah berjumlah RM213 juta, disokong oleh buku tender aktif iaitu RM384 juta.
CIMB Securities menambah, skop kerja M&E dalaman secara kelaziman mampu menawarkan margin bersih yang lebih teguh hingga boleh mencecah sekitar 10% hingga 15%, berbanding kerja M&E luaran.
"Keadaan ini mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat global terhadap keupayaan kontraktor tempatan, terutama Southern Score memenuhi tahap piawaian projek berteknologi tinggi," katanya.
Selain itu jelasnya, syarikat tersebut mengekalkan buku tempahan kerja awam bernilai sebanyak RM1.2 bilion dengan sasaran kadar pembaharuan kontrak tahunan antara RM800 juta hingga RM1 bilion.
Keyakinan berkenaan kata CIMB Securities, didorong oleh banyak projek 'turnkey' bagi pemilik tanah persendirian, infrastruktur awam, serta kerjasama kukuh dengan pemaju perumahan jenis mampu milik.
Potensi tambahan ujar firma berkenaan, turut datang daripada usaha sama dengan Radium Healthcare, bermula dengan projek Hospital Pakar A Famosa di Melaka yang memiliki kapasiti sebanyak 140 katil.
"Dengan prospek tempahan kukuh, margin mampan dan aliran kerja berulang sektor DC serta penjagaan kesihatan, kami melihat Southern Score berpotensi muncul antara peneraju pembinaan," katanya. - DagangNews.com








