KUALA LUMPUR 2 Mac – Penyusutan keuntungan teras sebanyak 6.8% bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 menjadi isu kritikal yang membayangi prestasi QL Resources Berhad pada tempoh itu.
Menurut penganalisis, perkembangan lemah tersebut susulan tekanan margin dalam segmen minyak sawit dan tenaga bersih (POCE) serta kemerosotan ketara melibatkan unit kedai serbaneka (CVS).
TA Securities menyifatkan keputusan kewangan bagi 9MFY26 sebagai menepati jangkaan, masing-masing merangkumi 70% daripada unjuran penuh tahun firma berkenaan dan 74% anggaran konsensus.
"Tekanan utama datang daripada segmen POCE apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 16.9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM23 juta meskipun hasil naik sedikit 0.5% kepada RM213.1 juta," katanya.
Margin PBT jelas firma tersebut, mengecil 2.3 mata peratusan kepada 10.8% berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah serta margin yang ketat dalam projek rawatan air dan solar.
Segmen CVS pula tambah TA Securities, mencatatkan penyusutan PBT paling ketara iaitu 45.4% kepada RM7 juta, dengan margin merosot kepada 2.3% akibat jualan purata kedai lemah dan kos operasi naik.
Bagi segmen ternakan bersepadu (ILF), PBT turun 2.8% kepada RM74.4 juta kerana harga jualan purata telur lebih rendah serta penamatan subsidi, namun sebaliknya segmen pembuatan produk marin (MPM).
"Ia meningkat 2.2% dalam PBT kepada RM72 juta berikutan margin lebih kukuh dan pemulihan operasi akuakultur, tetapi kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan," katanya.
Justeru TA Securities menjangkakan segmen CVS terus mencabar pada suku keempat berikutan situasi sepanjang bulan Ramadan kelazimannya memperlahankan perbelanjaan pengguna di rangkaian kedainya.
Bagaimanapun, perbelanjaan sempena Tahun Baharu Cina dan peningkatan pelancong pada Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dijangka membantu mengimbangi kelembapan bermusim QL Resources.
Oleh itu ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM4.49, manakala RHB Research pula masih mengekalkan saranan 'neutral' dengan TP RM3.94, membayangkan potensi penurunan sekitar 2%.
"Kami berpandangan keputusan 9MFY26 adalah selari dengan jangkaan meskipun di bawah konsensus pasaran, dengan keuntungan bersih RM337 juta merangkumi 77% daripada unjuran," kata firma itu.
Menurutnya, semua segmen perniagaan gagal mencatat pertumbuhan PBT dalam tempoh itu, dengan CVS merekodkan penyusutan paling ketara akibat sentimen pengguna berhati-hati dan persaingan sengit.
Bagaimanapun kata RHB Research, secara suku ke suku (QoQ), 3QFY26 menunjukkan peningkatan hasil 4% disokong sumbangan tinggi oleh POCE menerusi jualan MSM dan projek bio-tenaga serta rawatan air.
Sementara PBT meningkat 6% dipacu prestasi bermusim lebih baik dalam MPM, serta ia menjangkakan pemulihan beransur susulan kenaikan harga jualan purata (ASP) produk tertentu dan pelarasan harga.
"Produk berasaskan surimi dapat menstabilkan margin, tetapi ILF pula dijangka mendapat manfaat daripada harga telur lebih tinggi dan kos makanan ternakan lebih rendah di Malaysia," jelasnya.
Unit CVS namun tambah RHB Research, dijangka terus berdepan dengan tekanan, walaupun pengurusan QL Resorces bercadang hendak mempergiatkan promosi dan pemasaran bagi merangsang jualan di kedai.
Secara keseluruhan, ia menilai asas perniagaan kumpulan berkenaan adalah kekal kukuh berikutan model perniagaan yang pelbagai dan masih berorientasikan barangan keperluan asas kepada pengguna.
Keaadan tersebut kata firma penyelidikan itu, sekali gus menawarkan ciri bertahan yang positif dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini. - DagangNews.com








