Untung Mitrajaya diunjur naik 47.5% pada FY26 disokong kontrak baharu RM1.3 bilion, kata Apex | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Mitrajaya diunjur naik 47.5% pada FY26 disokong kontrak baharu RM1.3 bilion, kata Apex

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 April – Unjuran pertumbuhan keuntungan kukuh sebanyak 47.5% bagi FY26 menjadi pemangkin utama minat pelabur ke atas Mitrajaya Holdings Berhad, menurut analisis Apex Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu turut disokong dengan aliran kontrak baharu diperoleh kumpulan berkenaan setakat ini yang sudah mencecah sekitar RM1.3 bilion setahun.


Ujarnya, momentum ini dijangka berterusan dengan pertumbuhan 29% pada FY27 dan 7.9% pada FY28, sekali gus mengukuhkan trajektori pendapatan syarikat bagi tempoh beberapa tahun akan datang.


"Justeru, kami menjangkakan harga saham Mitrajaya berpotensi melonjak dua kali ganda kepada RM1.28 sesaham, didorong kemasukan agresif ke dalam segmen pusat data (DC)," jelas Apex dalam notanya.


Tambahnya, penglibatan dalam projek KL1 oleh NEXTDC bernilai RM578 juta bukan sahaja meningkatkan visibiliti hasil jangka panjang, malah menawarkan margin tinggi berbanding projek pembinaan biasa.


Selain itu menurut firma penyelidikan berkenaan lagi, buku tempahan semasa kumpulan tersebut sebanyak RM901 juta memberikan keterlihatan pendapatan sehingga tahun kewangan berakhir 2028.

 

Mitrajaya_DagangNews


Sementara itu kata Apex, rekod prestasi Mitrajaya yang positif dalam pelbagai tender pembangunan segmen DC sebelum ini, turut meningkatkan kebarangkalian untuk ia memperoleh kontrak berulang.


"Kami mendapati penilaian semasa saham syarikat itu sudah melihat pendekatan berhati-hati dengan mengenakan diskaun 40% ke atas segmen pembinaan dan 50% ke atas perniagaan hartanah," ujarnya.


Di samping itu tambah firma penyelidikan tersebut, pihaknya turut mengambil kira risiko beberapa pelaksanaan projek serta kadar pengambilan pasaran yang masih lagi stabil dalam situasi semasa.


Prospek Mitrajaya kata Apex, disokong menerusi pembangunan berorientasikan transit (TOD), sentimen sektor pembinaan yang semakin pulih dan kesinambungan perbelanjaan infrastruktur oleh kerajaan.


Setakat ini, saham syarikat itu diniagakan 64 sen dengan permodalan pasaran RM471 juta, manakala konsensus menunjukkan dua saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) purata 90 sen. - DagangNews.com