KUALA LUMPUR 1 Dis – Lianson Fleet Group Berhad mencatatkan keputusan 9MFY25 yang kukuh, menandakan bukti kejayaan strategi pemusingan modal dan perluasan segmen pengangkutan marin.
Menurut AmInvestment Bank, keuntungan teras melonjak empat kali ganda kepada RM45 juta berbanding RM9 juta setahun lalu, didorong penyumberan hasil lebih stabil daripada kapal pengangkut pukal.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ini termasuk pelbagai model unit tongkang tunda, selain penggunaan yang lebih tinggi dalam operasi untuk jenis kapal sokongan luar pesisir (OSV).
"Selain itu, pendapatan keuntungan pelupusan aset sebanyak RM18 juta, iaitu sebahagian strategi kitar semula aset Lianson yang berterusan, didapati mencapai 80% daripada unjuran kami," katanya.
Dari segi prestasi kata AmInvest, hasil 9MFY25 meningkat 29% tahun ke tahun (YoY), manakala margin untung kasar mengukuh kepada 35% (9M FY24: 23%), mencerminkan kecekapan operasi dan kawalan kos.
Kumpulan berkenaan jelas firma tersebut, turut mengisytiharkan dividen 1 sen bagi suku ketiga, menjadikan jumlah setakat ini kepada 3 sen, selepas tiada bayaran dividen pada tahun sebelumnya.
AmInvest mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran RM3, disandarkan kepada penilaian OSV, pengangkutan marin, perkhidmatan tenaga dan opsyen infrastruktur tenaga di seluruh rantau ASEAN.
"Melangkah ke hadapan, Lianson diyakini berada di landasan untuk mencapai RM100 juta untung kasar menjelang FY26, apabila lima kapal pengangkut pukal miliknya beroperasi penuh," kata firma itu.
Sehingga 30 September 2025 jelasnya, buku tempahan kumpulan tersebut sudah berjumlah RM498 juta, dengan kita-kira 92% dikunci melalui kontrak untuk tempoh jangka panjang sehingga lapan tahun.
Selain pertumbuhan marin, AmInvest menambah bahawa kerjasama usaha sama 'jack-up drilling' bersama Petrovietnam Drilling dari Vietnam membuka potensi pendapatan berbilang tahun selepas FY27.
Langkah terbaharu itu jelas firma penyelidikan berkenaan, sekali gus memanjangkan keterlihatan pertumbuhan dalam segmen marin, perkhidmatan tenaga dan infrastruktur serantau kepada Lianson.
"Dengan penjanaan pendapatan pelbagai segmen yang semakin ketara, kami menjangka momentum penarafan semula dapat dikekalkan selari profil syarikat infrastruktur itu," katanya. - DagangNews.com








