KUALA LUMPUR 31 Dis — Keuntungan teras Kawan Renergy Berhad bagi suku keempat FY25 mencatat penurunan 18.2% berbanding tempoh suku yang sebelumnya (QoQ), menurut Public Investment Bank.
Firma penyelidikan berkenaan percaya situasi kemerosotan tersebut berpunca daripada pengiktirafan hasil keuntungan kumpulan itu secara lebih berhati-hati daripada projek yang masih sedang berjalan.
Bagaimanapun tambahnya lagi, jika dinilai secara tahunan (YoY) pula, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi 4QFY25 meningkat kukuh 59.1% kepada RM6.6 juta.
"Keadaan ini disokong oleh sumbangan lebih tinggi yang diterima Kawan Renergy daripada segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dan aktiviti penjanaan bersama," kata PublicInvest dalam notanya.
Bagi keseluruhan FY25, kumpulan tersebut mencatat PATAMI teras terkumpul sebanyak RM24.5 juta, meningkat 33.2% YoY serta sejajar jangkaan firma itu dan konsensus pasaran iaitu paras 104%.
Selain itu jelas firma berkenaan, buku tempahan kekal stabil pada RM108.2 juta, dengan sebahagian besar disokong oleh projek RE dan penjanaan bersama, memberikan keterlihatan hasil sehingga FY26.
Artikel berkaitan: Kawan Renergy catat hasil RM42.67 juta pada 4QFY25 disokong projek RE, kilang proses industri
Dari segi segmen pula tambah PublicInvest, pendapatan daripada dua segmen itu melonjak enam kali ganda YoY kepada RM23.5 juta pada 4QFY25, yang mencerminkan kemajuan projek secara lebih pantas.
"Ini termasuk sumbangan daripada projek Gas Malaysia yang dianugerahkan pada Julai 2025, namun hasil segmen loji proses jatuh kepada RM2.0 juta berikutan penyiapan projek utama," katanya lagi.
Mengulas mengenai prospek FY26, firma itu kekal positif terhadap Kawan Renergy, disokong oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan peningkatan permintaan tenaga industri.
Begitu juga kadar penggunaan rumusan tenaga di tapak projek, dan berdasarkan perkembangan positif itu, PublicInvest masih mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran 76 sen sesaham.
Jelasnya, situasi tersebut bersandarkan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 16.3 kali ke atas unjuran keuntungan sesaham (EPS) CY26 sebanyak 4.67 sen. - DagangNews.com








